Monday, October 29, 2012

Keluarga keutamaan Zahnita


SELEPAS berkeluarga, jadual kerja Zahnita tidak boleh melebihi waktu lewat malam.


KALI terakhir menatap wajah wanita ini di layar perak ialah pada tahun 2004 menerusi filem Kuliah Cinta. Selepas itu, nama dan kariernya bagaikan berkubur dalam industri seni tempatan.
Biarpun begitu, kelibat Zahnita Wilson, 27, masih kelihatan pada beberapa acara fesyen, malah perkembangan mengenainya pernah disiarkan oleh beberapa media cetak dan elektronik beberapa tahun lalu.
Sekejap timbul, sekejap tenggelam, begitulah diibaratkan perjalanan seni wanita ini. Dia tidak merajuk dan bukan memilih untuk menyepi, tetapi tuntutan keluarga membuatkan Zahnita kurang memberi penekanan kepada dunia seni.
Jujur mengakui bahawa kerjaya sebagai model yang disandang lebih sedekad lalu membuatkannya lebih selesa meneruskan dunia peragaan berbanding lakonan.
Agak keberatan
Baru-baru ini, Zahnita mengejutkan industri seni dengan penyiaran gambar-gambarnya ketika sarat hamil yang disiarkan oleh beberapa laman web. Rata-rata memberikan komen positif dan kagum dengan kejelitaan Zahnita walaupun sudah bergelar ibu.
"Pada awalnya, saya agak keberatan melakukan sesi fotografi tersebut kerana tidak yakin dengan kebolehan untuk beraksi di depan kamera ketika hamil.
"Ia satu pengalaman yang menakjubkan dan saya pasti menyesal kelak jika tidak melakukan perkara ini. Sekurang-kurangnya, saya dapat menjadikan foto-foto ini sebagai memori pada masa depan," kongsi Zahnita ketika dihubungi Stailo baru-baru ini.
Bakal menyambut kelahiran anak perempuan keduanya November ini, Zahnita mendedahkan bahawa kekosongan yang ditinggalkan dalam dunia seni bukan bererti penamat kepada bidang lakonan.
Kecintaannya terhadap lakonan masih kuat, cuma tawaran yang diterima masih belum mampu meyakinkannya untuk kembali beraksi. Hasil daripada empat filem dan dua telemovie yang pernah dilakonkan Zahnita, menyaksikan karakternya sebagai perempuan gedik yang terlalu stereotaip.
Bosan dengan peranan itu, Zahnita memutuskan untuk kembali ke pentas lakonan sekiranya diberikan skrip yang menarik dan tanggungjawab yang berbeza. Katanya: "Saya mengimpikan watak yang serius tetapi mungkin belum ada yang yakin dengan kemampuan saya memikul watak berat.
Lebih selektif
"Tambahan pula, bergelar pelakon dan model sepenuh masa menuntut komitmen yang tinggi. Saya tidak mampu menggalas dua pekerjaan itu secara serentak," katanya.
Alam perkahwinan yang menjangkau usia tujuh tahun banyak mengubah gaya hidup Zahnita sebagai model. Dahulu, segala jemputan dan permintaan sesi fotografi dan pentas peragaan dipersetujui tanpa mengambil kira waktu.
Kini Zahnita lebih selektif dan mengambil tawaran yang tidak melewati waktu malam. Paling lewat, dia perlu berada di rumah pada pukul 11 malam.
"Saya tiada pembantu rumah, jadi segala urusan rumah tangga seperti memasak, mengemas dan menguruskan keperluan suami dan anak menjadi tanggungjawab utama. Walaupun saya masih aktif dalam dunia peragaan, keluarga tetap menjadi keutamaan.
"Tawaran sebagai model yang saya ambil sekarang dijadikan pendapatan ekstra bagi menampung keperluan tambahan.
"Suami pula tidak menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang peragaan dan memahami skop kerja saya. Namun, segalanya perlu kembali kepada keutamaan saya menguruskan keluarga," kata Zahnita memberitahu anak sulungnya, Zahrafeena Zackery, 5, sudah pun dihantar ke taska.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: