POPULAR...Amran Tompel meneruskan legasi ayahnya, AR Tompel.
BERJAYA...Wan Maimunah pernah dinobatkan sebagai artis komedi terbaik.
Jika dilihat kembali, saban hari ada saja wajah baru menghiasi pentas seni bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Sejak bermula perfileman Melayu ketika studio Jalan Ampas ditubuhkan yang melahirkan legenda agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee hinggalah kepada artis semuda Aizat dan Najwa Latif, industri seni tanah air tidak pernah suram.
Bagaimanapun, zaman semakin berubah. Anak seni yang bertapak dalam industri berabad-abad lamanya makin terpinggir. Mungkin terlepas pandang atau bukan rezeki, artis veteran semakin hari semakin hilang daripada dunia seni tanah air meskipun mereka masih bernafas.
Jika dilihat pembabitan mereka, ada antara artis veteran layak digelar primadona dan seniman tanah air. Namun, kini hasil kerja, karya dan nama yang pernah mengangkat industri seni tanah air satu masa dulu seakan-akan terkubur begitu saja.
Penulis faham dan mengerti zaman mereka sudah berlalu dan kini masanya artis muda mengambil alih. Begitupun, adakah wajar nama besar itu dipinggirkan begitu saja? Apakah yang terjadi dengan nasib artis veteran?
Dalam kemeriahan dunia seni sekarang, setiap hari ada saja bintang baru muncul dalam drama atau filem, lantas menenggelamkan nama artis veteran. Pada masa sama, mereka juga menjadi semakin kurang mendapat perhatian.
Sedangkan di Barat, lebih lama atau lebih veteran seseorang artis itu, lebih tinggi nilai mereka di mata masyarakat dan peminat. Jadi, kenapakah tanah air kita tidak mampu dijadikan sebegitu?
Realitinya, kebanyakan mereka hidup susah dan mengharapkan bantuan kerajaan dan masyarakat. Ada juga yang berniaga kecil-kecilan sekadar melepaskan hidup daripada kemiskinan.
Tidak kurang pula yang masih menagih simpati mengharapkan peluang pekerjaan dalam dunia seni. Apakah yang terjadi dengan nama besar dan gelaran demi gelaran yang pernah mereka kecapi dulu? Adakah ia sekadar nama dan hanya tinggal sebagai nama?
Sakit serta penyakit ketentuan Allah. Namun, ramai artis veteran kembali menghadap Ilahi dek kerana penyakit yang tidak disedari atau kini terlantar di katil hospital kerana penyakit kronik.
Mereka terdiri daripada kelompok susah. Meskipun penyakit jarang dapat dielak, namun jika berkemampuan ia boleh disedari pada peringkat awal serta mendapatkan rawatan awal sebelum ia merebak.
Ajal, jodoh, rezeki dan penyakit adalah kuasa Tuhan. Manusia perlu berusaha dan tidak hanya berserah kepada takdir. Namun mungkin kerana tidak berdaya dan tidak berkemampuan, penyakit dibiarkan begitu saja kerana kos rawatan terlalu tinggi.
Di mana pengiktirafan mereka sebagai anak seni berjaya? Mungkin dulu ya, namun sekarang? Istilah berjaya itu hanya pernah disandang dan ia bukan untuk digunakan sekarang.
Pernah seorang artis veteran berkata kepada penulis: “Apa gunanya pingat dan gelaran, sedangkan periuk didapur tidak berasap? Kami antara pencetus dunia seni tanah air tetapi nasib pula kini tidak terbela.
“Ke mana keringat yang kami curahkan untuk membangunkan dunia seni sehingga berada pada tahapnya sekarang? Dunia perfileman semakin hari semakin maju.
Pentas nyanyian pula semakin hari semakin hebat dan gah di mata dunia, tetapi kami masih dipinggirkan.
“Bukan mengharap simpati atau meminta sedekah. Namun, hargailah kami orang lama. Kepada yang hidup susah, hulurkan bantuan setidak-tidaknya peluang pekerjaan kepada mereka.”
Itu antara rintihan artis veteran yang memperjuangkan nasib mereka. Memang betul apa yang diperkatakan si artis itu. Walaupun zaman mereka sudah berlalu dan kini masanya untuk artis baru menguasai dunia hiburan, keringat mereka tidak seharusnya dibiarkan begitu saja.
Mungkin, disebabkan zaman berubah dan semakin meningkat usia, nama agung itu menjadi semakin kecil dan hilang daripada bibir peminat.
Hargailah orang lama. Kerana tanpa mereka, tidak mungkin anak seni sekarang berada di tempat mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: