Tuesday, October 30, 2012

Enggan jaja kisah peribadi

HAZAMA menunjukkan bakat lakonannya menerusi filem sulungnya, Apa Celop Toqq yang kini sedang ditayangkan di pawagam.


KALAU melihat kepada perkembangan kerjaya Hazama Ahmad Azmi, ternyata bukan mudah buatnya untuk menempatkan diri sebagai salah seorang penyanyi popular seperti yang dikecapinya sekarang.
Misalnya, kegagalan sewaktu menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) dahulu, langsung tidak pernah melunturkan semangat Hazama. Sebagai bukti dia telah diangkat sebagai juara AF9 pada tahun lalu.
Ketika hadir menjalani sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi itu meluahkan rasa puas hatinya dengan pencapaian yang diperoleh, meskipun cerita mengenai dirinya kurang didedahkan.
“Semenjak kebelakangan ini ada yang berkata, saya seolah-olah seperti menyepi dalam industri kerana jarang keluar di media. Namun, itu bukan bermakna saya mendiamkan diri sahaja kerana sibuk dengan kerja belakang tabir serta mengumpul bahan untuk album baharu.
“Lagipun saya kurang gemar jika kisah peribadi terlalu digembar-gemburkan semata-mata mahu popular. Saya lebih suka sekiranya orang memperkatakan tentang produk yang saya hasilkan,” ujar penyanyi berusia 28 tahun itu.
Tidak menafikan populariti juga sangat penting kepada seseorang artis, Hazama menyatakan, dengan kerjayanya sekarang sebagai seorang penyanyi sudah banyak membantu dirinya dikenali ramai.
Tambah Hazama, dia seboleh-bolehnya mahu menjadi artis yang dikenali ramai kerana bakat dan kebolehan, bukannya dengan menjaja kisah peribadi kerana ia boleh memberikan impak yang buruk kepada kerjayanya.
“Contohnya semasa cerita mengenai saya yang dikatakan berlagak sombong semasa makan di sebuah hotel beberapa bulan lalu.
“Apabila cerita tersebut tersebar ia membuatkan diri saya berasa sedikit tertekan dan kecewa sehingga takut untuk berhadapan dengan peminat,” jelasnya.
Ketika diminta menceritakan perkara sebenar tentang peristiwa yang berlaku, Hazama menegaskan, dia langsung tidak berniat mahu bersikap sombong terhadap para pekerja di hotel berkenaan.
Jelas penyanyi itu, perbuatannya yang tidak menghabiskan makanan yang telah dihidangkan bukanlah disebabkan mahu berlagak. Sebaliknya, secara kebetulan makanan berkenaan tidak menepati seleranya.
“Saya pernah bekerja di hotel tersebut dan mempunyai ramai rakan di sana. Namun, secara kebetulan saya dilayan oleh pekerja baharu dan rakan-rakan saya pula tidak bekerja pada masa itu,” ujarnya.
Tidak mahu dilabel sebagai penyanyi sombong dalam kalangan peminatnya memandangkan kariernya kini yang semakin berkembang, Hazama menyatakan dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya dan akan melayan para peminatnya dengan sebaik mungkin.
Ada kekasih
Mengenai status dirinya sekarang, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Teragung itu mendedahkan bahawa dia memang mempunyai kekasih yang sudah dikenalinya sejak sebelum menyertai AF lagi.
“Kami sudah bercinta selama enam tahun dan memang ada perancangan untuk berkahwin. Ia bagaimanapun bukan dalam masa terdekat ini kerana banyak perkara lagi yang perlu saya lakukan sebelum bergelar suami.
“Kekasih begitu memahami keadaan saya sekarang yang sedang berusaha keras dalam kerjaya. Jadi, dia tidak pernah memaksa saya dan kami tetap selesa dengan keadaan sekarang,” jelasnya.
Bagaimanapun, dia tidak mahu ramai pihak salah sangka apabila mengaku sudah mempunyai kekasih, sedangkan dia bertekad untuk tidak mahu mendedahkan kisah peribadinya kepada umum.
“Rasanya tidak salah kalau beritahu yang saya sudah lama ada kekasih sebagai seorang artis yang menjadi public figure, sudah tentu pergerakan saya akan selalu diperhatikan.
“Jadi, kalau ada orang lihat saya keluar bersama kekasih sudah tentu mereka tidak akan bercerita yang bukan-bukan.
“Lagipun saya tidak mahu dedahkan identiti kekasih saya kepada umum semata-mata mahu menarik perhatian,” tegasnya.
Pengalaman berlakon
Selain sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi, kini Hazama melangkah setapak lagi dalam karier seninya apabila muncul sebagai seorang pelakon yang akan tampil menerusi filem sulungnya berjudul Apa Celop Toqq.
Ujarnya, ketika ditawarkan berlakon oleh Ahmad Idham dia sendiri mengaku agak terkejut, apatah lagi membawakan watak yang besar serta menjadi pelakon utama dalam filem tersebut.
“Saya akui pada mulanya seperti tidak percaya kerana langsung tiada pengalaman dalam dunia lakonan. Apabila difikirkan sudah tentu saya yang akan rugi kalau menolaknya kerana peluang sebegini tidak datang selalu.
“Apa pun saya puji dengan tindakannya yang berani mengambil risiko dengan menawarkan saya berlakon. Maka, saya perlu membalas segala kepercayaan yang telah diberikan dengan menampilkan lakonan yang terbaik,” jelasnya berasa gugup ketika hari pertama berlakon.
Menurut Hazama, sepanjang menjalani penggambaran filem berkenaan selama sebulan, beberapa tawaran nyanyian yang diterima terpaksa ditolak semata-mata mahu memberi sepenuh komitmen.
Ujarnya, dia tidak mahu bersikap tamak dengan melakukan terlalu banyak kerja dalam satu masa kerana ia boleh mengganggu tumpuan sehingga menjejaskan kerja-kerja yang dilakukannya.
“Memandangkan kali pertama saya berlakon filem sudah tentu saya perlu memberikan komitmen seratus peratus kerana inilah masanya untuk membuktikan apa yang saya lakukan tidak sia-sia.
“Kalau saya tidak mendatangkan sebarang masalah sepanjang penggambaran, tidak mustahil akan ada lagi tawaran yang datang. Buktinya, saya sekarang diberi peluang berlakon filem kedua saya berjudul Lari,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: