Monday, October 29, 2012

Peningkatan jenayah bersenjata Bangkok


SEORANG lelaki menggilap senapang miliknya di sebuah kawasan luar bandar berdekatan bandar raya Bangkok untuk dijual kepada orang awam.


SERAMAI 20 orang murid sekolah berkumpul membuat bulatan di dalam sebuah bas henti-henti di tengah-tengah kota Bangkok. Di tengah-tengah mereka seorang pelajar sekolah lain yang berusia 16 tahun berada dalam ketakutan.
Selepas dimaki dan ditendang, salah seorang daripada 20 pelajar itu bertindak kejam apabila melepaskan tembakan ke kepala mangsa.
Kejadian jenayah seperti itu di kota Bangkok bukan lagi satu kejutan, malah insiden tembak-menembak dalam kalangan orang awam sudah menjadi satu perkara biasa.
Dalam satu insiden di stesen pertukaran bas yang sibuk, seorang mekanik komputer menembak mati dua orang awam dan mengambil seorang tebusan. Saksi berkata, ia menyerupai adegan daripada filem Hollywood.
Status destinasi syurga pelancongan selain pangkalan serantau bagi syarikat-syarikat multinasional, semakin tercalar dengan kontroversi itu.
Peningkatan kes jenayah seperti didakwa disumbang oleh peningkatan pemilikan senjata api dalam kalangan orang awam Thailand.
Statistik mendapati jumlah rakyat Thailand memiliki senjata, hampir empat kali ganda lebih tinggi daripada Filipina iaitu sebuah negara yang juga terkenal dengan jenayah senjata ganas.
Maka disebabkan itu, ada pihak yang menuding jari dengan mendakwa ketidakstabilan politik Thailand sejak rampasan kuasa 2006 akibat penolakan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra adalah punca kepada peningkatan kes jenayah bersenjata orang awam.
Ada sesetengah pihak pula mendakwa kekayaan Thailand yang tidak dibahagikan sama rata atau lebih mudah yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin, mendorong orang awam mengambil undang-undang ke dalam tangan sendiri.
Penguatkuasaan lemah
"Thai telah menjadi bak sebuah filem Wild Wild West," kata ahli politik Chuwit Kamolvisit yang juga bekas hartawan pusat urut.
"Orang menarik keluar senjata mereka tanpa anda sedari kerana ia berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua tempat."
Akui Chuwit, jenayah senjata yang semakin meningkat boleh merosakkan imej negara Gajah Putih yang berbangga dengan gelaran Tanah Dengan Senyuman.
Ia boleh menjejaskan kedatangan pelancong memandangkan Thailand menerima kunjungan 20 juta pelancongsetiap tahun.
Antara insiden terkini melibatkan jenayah senjata termasuklah seorang senator yang menembak mati bekas isterinya semasa makan malam.
Tidak ketinggalam insiden tembakan di sebuah kelab malam yang menyebabkan lima kematian.
Semua ini menunjukkan penguatkuasaan undang-undang yang sangat lemah oleh pihak berkuasa sejak rampasan kuasa pada 2006.
Jenayah bersenjata di Bangkok telah meningkat dua kali ganda sejak itu. malah yang lebih menakutkan ia melibatkan orang awam.
Thailand mempunyai kadar pembunuhan bersenjata tertinggi di Asia menurut www.gunpolicy.org iaitu laman web yang dihoskan oleh Pusat Pengajian Kesihatan Awam, Universiti Sydney di Australia.
Terdapat 5.3 pembunuh bersenjata bagi setiap 100,000 orang di Thailand pada tahun 2011, berbanding 0.2 di Filipina.
Undang-undang sendiri
Di bawah undang-undang Thailand, seseorang di bawah 20 tahun tidak boleh memiliki pistol, malah pemeriksaan latar belakang yang ketat dijalankan sebelum lesen boleh dikeluarkan.
Walaupun begitu, bilangan orang muda yang membawa senjata api telah meningkat kepada 32 peratus sejak sembilan tahun lepas, kata Kementerian Keadilan Thailand.
Terletak di antara lorong dan jalan sibuk di Chinatown, Bangkok Old Siam Plaza dikelilingi sekitar 80 kedai pistol beroperasi secara sah. Ada yang mengiklan senapang dengan nombor siri mereka dicalarkan.
Menurut rekod Kementerian Dalam Negeri, 6.2 juta lesen pemilikan senjata telah dikeluarkan di negara yang mempunyai populasi penduduk 69 juta orang itu.
Namun, jumlah itu belum dicampur dengan mereka yang memiliki pistol dan senapang secara haram.
"Pistol datang melalui semua sempadan Thailand iaitu di utara, timur dan barat negara," kata Komander Bahagian Penindasan Jenayah Thailand, Supisan Pakdinarunat.
Ahli politik Chuwit dengan tegas menyalahkan budaya atau amalan mengambil undang-undang dalam tangan sendiri sebagai punca.
"Jika seorang lelaki tidak boleh memakai pakaian seragam (penguat kuasa), memiliki pistol adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: