Namun, kerana ketaatan yang tinggi dalam melaksanakan suruhan-Nya, baik Nabi Ibrahim mahupun Nabi Ismail reda menerima suruhan itu.
Kisah pengorbanan kedua-dua nabi ALLAH ini sewajarnya diteladani umat Islam masa kini.
Bagi personaliti terkenal, Wardina Safiyyah Fadlullah, 33, banyak pengajaran tersirat sebenarnya yang boleh diperoleh daripada kisah tersebut.
“Apa yang saya nampak, pengorbanan bukan setakat mengorbankan sesuatu tetapi perlulah diiringi dengan keikhlasan.
“Begitulah yang dilakukan seluruh keluarga Nabi Ibrahim termasuklah isterinya, Siti Hajar apabila mereka begitu ikhlas melaksanakan perintah ALLAH,” katanya kepada Zass.
Menurut pengacara Al-Hidayah ini, ramai sebenarnya yang mengabaikan aspek keikhlasan apabila melakukan sebuah pengorbanan.
“Itu jugalah yang sering saya bertanya kepada diri sendiri setiap kali membuat pengorbanan, ikhlaskah saya?
“Jika tiada keikhlasan, sudah tentu pengorbanan kita hanya akan menjadi sia-sia,” katanya.
Selain keikhlasan, kata Wardina, dia juga melihat betapa pentingnya sebagai umat Islam untuk bertawakal sepenuhnya kepada ALLAH.
“Elemen sebeginilah yang perlu diterapkan dalam kehidupan agar pengorbanan kita lebih bermakna.
“Perlu diingat, sesuatu pengorbanan juga mestilah berbaloi. Misalnya, ada yang mengorbankan maruah, itu juga dikira berkorban tetapi terang-terang sudah lari dari konsep sebenarnya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.
Peritnya pengorbanan
Tanyalah kepada sesiapa sekalipun, sudah tentu masing-masing pernah melakukan pengorbanan terbesar dalam hidup.
Ketika ditanya pengorbanan terbesar yang dilakukan dalam hidupnya, ujar Wardina, agak sukar sebenarnya untuk menilai kerana setiap individu memiliki kisah yang berbeza.
Namun, sebagai Muslim, Wardina tidak menafikan mengorbankan keseronokan dunia demi mencapai kebahagiaan akhirat itu sememangnya sesuatu yang perit.
“Kadang-kala kita dihantui dengan pelbagai keinginan dan nafsu yang boleh menjerumuskan diri ke lembah dosa.
“Bukan mudah untuk mengorbankan perasaan itu kerana kita cuma manusia biasa.
“Tetapi apabila mengenangkan ganjaran yang jauh lebih baik menanti jika kita tinggalkan perasaan itu, pasti langsung tiada penyesalan,” kata isteri kepada Ikhwan Johari ini.
Rinduku di Tanah Suci
Ketika ini, jutaan umat Islam masih lagi berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.
Seperti umat Islam yang lain, Wardina tidak pernah berhenti berdoa agar suatu hari nanti, dia juga dipilih menjadi tetamu ALLAH mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Berpeluang menjejakkan kaki sebanyak tiga kali di sana sewaktu mengerjakan umrah, hati Wardina sememangnya meronta-ronta rindu untuk kembali ke Tanah Suci.
“Kerinduan itu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Di situlah satu-satunya tempat di dunia yang paling menenangkan.
“Dapat melihat Kaabah dan beribadat di sana sememangnya memberi kepuasan yang tidak terhingga,” katanya.
Meskipun belum berkesempatan menunaikan haji, jelas Wardina, bukan bermakna umat Islam tidak boleh meraih manfaat besar sempena bulan Zulhijjah.
“Ramai yang tidak tahu, banyak kelebihannya jika berpuasa pada hari Arafah (hari kesembilan Zulhijjah).
“Walaupun tidak bersama umat Islam lain di Tanah Suci, ALLAH sentiasa dekat dengan kita kerana ibadat boleh dilakukan di mana-mana,” katanya lagi.
Tauhid ALLAH
Seperti biasa, sambutan Hari Raya Aidiladha, Jumaat lalu, disambut secara sederhana oleh Wardina dan keluarganya di Kuala Lumpur.
Walaupun anak-anaknya masih kecil, kata Wardina, dia sudah menerapkan konsep pengorbanan itu dalam diri mereka sejak kecil lagi.
“Perkara utama yang saya tekankan kepada mereka ialah pentingnya mentauhidkan ALLAH.
“Apabila mereka sudah betul-betul faham, barulah mudah untuk saya menerangkan mengenai pengorbanan dan sebagainya.
“Saya ingin mereka menjadi insan yang baik dan selalu berpesan agar jangan sesekali mementingkan diri sendiri,” katanya.
Berkongsi sedikit perkembangan terbarunya, menurut Wardina, selain mengacara, dia kini sibuk dengan aktiviti kemasyarakatan dan pelajarannya.
“Memang jadual agak padat kerana perlu membahagikan masa dengan pelbagai perkara.
“Bagaimanapun, keluarga masih menjadi keutamaan. Sesibuk mana pun, saya akan pastikan mempunyai masa berkualiti dengan anak-anak,” katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: