Tuesday, October 30, 2012
Amil janji hapus dosa RM81,000
JOHOR BAHRU - Bicara manis penuh muslihat seorang lelaki berperwatakan alim kononnya boleh menjamin seseorang masuk syurga menyebabkan seorang wanita terpedaya hingga memaksa mangsa menyerahkan RM81,000 sebagai upah menghapuskan dosa.
Ketika mendedahkan perkara itu, anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Zana, 31, memberitahu, segalanya bermula apabila ibunya yang berusia 72 tahun bertemu dengan lelaki yang mengaku dirinya sebagai amil zakat berumur lingkungan 40-an di Plaza Angsana di sini pada Julai lalu.
Katanya, pada pertemuan itu, ibunya telah memberikan wang selepas amil yang dikenali sebagai Nizam Idris (gambar kecil) tersebut mendakwa dia mengutip zakat dan mengambil sumbangan untuk anak yatim, warga tua dan golongan orang kelainan upaya.
"Sejak itu, ibu seperti orang yang telah dipukau dan menyerahkan wang kepada Nizam kira-kira RM81,000 hingga sanggup mengetepikan keluarga sendiri semata-mata menurut kata lelaki berkenaan.
"Lelaki itu mendakwa dia melihat kami sekeluarga dimasukkan ke dalam neraka dan untuk mengelakkan perkara itu, ibu harus membayar sejumlah wang bagi penebus dosa sekali gus dapat merasai nikmat syurga," ceritanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, lebih membuatkan mereka naik mual dengan pembohongan Nizam ialah lelaki itu meramalkan hari kiamat akan berlaku dalam tempoh terdekat manakala ibunya akan meninggal dunia pada 24 Julai tahun depan.
"Disebabkan itu, ibu menjadi cemas dan menyerahkan wang kononnya Nizam dapat membersihkan diri ibu daripada dosa," katanya.
Menurut suri rumah itu, dia sekeluarga telah mencuba pelbagai cara untuk menyedarkan ibunya mengenai pembohongan dan lakonan licik Nizam tetapi malangnya wanita itu bukan sahaja manafikannya malah, memberitahu Nizam merupakan lelaki yang baik.
"Ada antara kami pernah terserempak dengan ibu yang sedang menjual semua barangan kemas sambil ditemani Nizam dan sampai satu tahap, ibu berhajat mahu menjual banglonya di Stulang Laut di sini bernilai RM500,000 tetapi sempat dihalang," katanya yang memberitahu hasil jualan itu akan diberikan kepada Nizam.
Ujar Zana, mereka sekeluarga yang tidak mahu ibunya terus ditipu telah membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini Sabtu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, polis telah menahan lelaki berkenaan pada hari pihaknya menerima laporan.
"Suspek kemudian telah dibebaskan selepas keterangannya diambil. Buat masa ini, tidak banyak yang boleh kami lakukan kerana mangsa sendiri tidak mengaku dia telah ditipu," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zainuddin bagaimanapun meminta mana-mana individu yang turut menjadi mangsa menggunakan modus operandi sama menghubungi polis Johor Bahru Utara di talian 07-221 2999 bagi membantu siasatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: