Tuesday, October 30, 2012

Jet-jet tentera Syria serang Damsyik


SEJUMLAH orang menyaksikan lokasi letupan bom kereta di Jaramana, Damsyik semalam.


DAMSYIK - Beberapa letupan menggegarkan bandar raya ini semalam selepas jet-jet pejuang rejim Presiden Bashar Al-Assad melancarkan serangan udara paling besar sejak Mac tahun lalu.
Seorang wartawan agensi berita AFP berkata, serangan kali ini menyebabkan tingkap-tingkap bangunan di pusat bandar di sini bergegar.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, tentera Bashar melancarkan sekurang-kurangnya 48 serangan udara di seluruh negara semalam.
Pengarah kumpulan pemerhati berkenaan, Abdel Rahman berkata, jet-jet tentera Syria mengebom sekurang-kurangnya 11 sasaran di sekitar bandar raya ini.
Menurutnya, serangan disasarkan ke atas kedudukan penentang yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria di sini.
Serangan itu disusuli letupan bom kereta yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang di kawasan penempatan penduduk Kristian dan Druze di Jaramana, pinggir bandar raya ini.
Kumpulan pemerhati itu memberitahu, seramai 12 orang maut dan 15 yang lain cedera dalam letupan itu.
Keganasan terbaharu itu berlaku ketika kuasa-kuasa besar masih meneliti kegagalan gencatan senjata di Syria yang bermula pada Jumaat lalu.
Ekoran kegagalan gencatan senjata itu, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/Liga Arab, Lakhdar Brahimi bersiap sedia mengemukakan idea baharu kepada Majlis Keselamatan PBB bagi menamatkan konflik di Syria.
Beliau kini berada di Moscow dan dijangka berada di China pada hari ini dan esok bagi membincangkan krisis tersebut.
"Saya telah mengulangi beberapa kali bahawa krisis di Syria amat berbahaya dan kini menjadi semakin buruk," kata Lakhdar selepas menemui Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov.
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, lebih 400 orang terbunuh sejak Hari Raya Aidiladha termasuk 35 orang semalam.
Rakyat Syria bangkit menentang rejim Bashar kerana menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi dengan penentangan tersebut mengorbankan lebih 35,000 nyawa setakat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: