MUAT... badan boleh masuk dalam kotak 50 sentimeter persegi.
Menggayakan pelbagai aksi, Julia Gunthel memperlihatkan keunikan tubuhnya di depan lensa kamera dengan latar belakang set pejabat.
Dikenali dengan nama Zlata ketika mengadakan persembahan, Julia kini menetap di Jerman.
Dalam kalendar itu, imej Julia dirakam ketika menaip, menjawab telefon dan membancuh kopi aktiviti yang biasa dilakukan mana-mana kakitangan.
Namun, aksi itu menjadi luar biasa kerana Julia melakukannya sambil melenturkan badan ke posisi luar biasa.
Tidak ketinggalan, aksi Julia mengendalikan komputer dengan hanya menahan berat badannya dengan tangan, manakala kakinya berada di atas skrin peranti berkenaan.
Julia yang menggelar dirinya ‘Dewi Fleksibiliti’ sering mengeluarkan kalendar istimewa dengan mempamerkan kelebihan yang ada pada dirinya.
Tahun ini, Julia berkata, dia mengambil tema wanita bekerja pada era 1980-an selepas muncul dengan pelbagai tema sebelum ini.
Sifat aneh pada tubuh Julia mula dikesan ketika dia baru berusia empat tahun.
Sejak itu, dia mula memanfaatkan kelebihan berkenaan dan tidak jemu-jemu berlatih setiap hari sebagai persediaan melakukan persembahan di seluruh dunia.
Memiliki ketinggian 1.8 meter dan berat 54 kilogram, satu daripada gerakan paling digemari Julia ialah melenturkan badannya ke belakang sehingga membentuk sudut 90 darjah dan seolah-olah membahagi badannya kepada dua bahagian.
Dalam keadaan begitu, tangan Julia dapat memegang kakinya tanpa mengalami kesulitan.
Tidak cukup dengan itu, Julia juga boleh mengubah suai tubuhnya supaya dapat dimuatkan dalam kotak seluas 50 sentimeter persegi.
Menyimpan cita-cita mencipta nama di Hollywood, Julia berkata, apa yang dilakukannya adalah satu perkara biasa.
“Kadangkala saya mungkin turut berasa kurang selesa jika dikehendaki memberi gaya tertentu untuk tempoh panjang.
“Namun, saya rasa itu bukan masalah kerana bagi orang biasa pun, duduk terlalu lama boleh memenatkan,” katanya.
Mengenai amalan pemakanannya, Julia berkata, dia tidak menetapkan sebarang pantang.
“Saya cuma perlu giat berlatih supaya otot dapat dibentuk dengan baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: