|
|
BERULANG-ULANG kisah cintanya menjadi bahan kontroversi. Mula-mula dengan Lash Mokhtar kemudiannya pengakuan cinta lokasi dan putus kasih dengan Shahrizal Jaszle, namun sehingga hari ini, pucuk muda Miera Liyana, 19, mengakui dia bebas lincah tanpa kekasih.
Pelakon yang pernah mendatangkan sensasi gara-gara memakai gaun malam yang tersalah ukuran sehingga mendedahkan sebahagian payu daranya itu mengakui, dia kini tenang bekerja tanpa digugat cerita remeh-temeh.
“Saya rasa lebih bebas dan berterima kasih pada dia (Shahrizal Jaszle). Disebabkan oleh dia, saya kini lebih matang,” ujar pelakon berusia 19 tahun saat ditemui selepas pelancaran drama bersiri terbaharu berjudul Putera Rayyan.
Sibuk di lokasi memenuhi tuntutan sebagai pelakon dan membawa harapan penerbit, Miera tidak menafikan bahawa ada lelaki yang cuba untuk mendekati dirinya, namun dia menolak kerana mahu memberi fokus kepada kerjaya.
“Didekati individu tertentu itu ada, itu perkara biasa tetapi saya tidak mahu terburu-buru lagi. Saya menolak dengan baik. Melihatkan perangai dan karakter saya yang begini, lelaki hanya lebih suka berkawan dengan saya,” katanya.
Bersifat agresif dalam masa yang sama masih jelas sifat keanak-anakan dan manja, Miera mengakui hatinya mudah tertarik untuk menyukai lelaki yang berketerampilan macho dan penuh karakter.
Sebagai contoh, bayangan lelaki macho dambaan Miera dapat dilihat daripada tiga selebriti lelaki tempatan yang diminati olehnya.
“Walaupun saya jenis yang agak lasak, tetapi apabila jumpa lelaki yang saya suka, saya akan berubah menjadi lembut. Jika mahu memberikan bayangan, jenis lelaki yang saya suka ada pada Henry Golding, Aaron Aziz dan juga Adiputra,” katanya ketawa.
Miera bagaimanapun menegaskan, pengalaman bercinta dan kecewa dalam percintaan sesama artis yang dilalui sebelum ini membuatkan dia mengelak agar pisang tidak berbuah dua kali.
“Kalau boleh, saya memang tak mahu teman lelaki artis, saya tak mahu pengalaman sebelum ini berulang lagi,” getusnya yang membawa watak antagonis di sini Kamal Adli dan Nad Zainal menerusi Putera Rayyan.
Drama yang disiarkan menerusi slot Samarinda itu mula bersiaran pada 31 Oktober ini pada pukul 10.30 malam, setiap hari Selasa dan Rabu, manakala pada hari Khamis ia akan disiarkan pada pukul 9.30 malam di TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: