|
KAWASAN sekitar pusat beli-belah Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada pagi itu agak sesak. Kebetulan, ia merupakan cuti hujung minggu, pastinya kesempatan itu digunakan warga kota untuk bersiar-siar dan membeli-belah.
Di satu sudut kedengaran suara seorang lelaki berkerusi roda sedang leka memberi arahan.
“Rapat sikit lagi. Hai, dah kahwin pun takkan masih malu-malu lagi,” usik Mohamad Firdaus Abdul Latif, 27, kepada pasangan di hadapannya.
Selepas beberapa ketika, lelaki yang mesra dengan panggilan Daus itu pantas melihat skrin Lensa Refleks Tunggal Digital (DSLR) jenis Nikon D300 miliknya.
Satu persatu gambar yang tersimpan rapi dalam memori kameranya dibelek. Kepuasan jelas terpancar daripada riak wajahnya, ternyata sesi penggambaran itu berjalan lancar seperti diharapkan.
“Seorang jurugambar memerlukan kreativiti dan imaginasi tinggi untuk memastikan gambar yang diambil cantik dan mempunyai makna di sebaliknya.
“Saya mempunyai konsep tersendiri ketika mengambil gambar. Ia mestilah mempunyai nilai dan menarik perhatian pelanggan,” katanya.
Tragedi menyayat hati
Sambil membetulkan kedudukan di atas kerusi roda, Daus, anak tunggal kepada pasangan Abdul Latif Nordin, 60, dan Azizan Buyong, 57, memulakan kisahnya.
“Jika tidak bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) mungkin saya hanya tahu membaiki penyaman udara seperti yang dipelajari ketika menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur dahulu,” ujarnya.
Memorinya pantas berputar mengingati kisah yang berlaku pada pagi 12 Disember 2004.
Dia yang berusia 19 tahun ketika itu sedang menuntut di IKM. Seperti kelaziman, dua minggu sekali dia akan pulang bercuti hujung minggu ke rumahnya di Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim, Perak.
“Saya sengaja memilih laluan jalan lama, Kuala Lumpur-Rawang ke Tanjung Malim kerana lebih dekat dan kurang sesak berbanding lebuh raya.
“Namun, takdir Tuhan sebaik tiba di sekitar kawasan Hutan Simpan Templer, motosikal saya telah dirempuh oleh sebuah kenderaan dari arah belakang.
“Akibatnya, saya tercampak bersama motosikal ke dalam gaung bersebelahan dan tidak sedarkan diri,” ceritanya.
Malang bagi Daus kerana pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri. Tambah malang, lokasi tempat dia terjatuh yang dikelilingi gaung sedalam 30 meter menyebabkan kejadian itu tidak disedari oleh pengguna jalan raya yang lain.
Selepas 30 jam tidak sedarkan diri, kelibatnya hanya disedari oleh pekerja pemotong rumput yang kebetulan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.
Katanya, dia hanya tersedar selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital.
“Ketika mahu bangun saya rasakan seluruh badan sakit, kebas dan sukar bergerak.
“Dalam keadaan mamai, saya diberitahu saya cedera parah. Kaki kiri saya terpaksa dipotong sehingga ke paras atas lutut, lebih malang saya juga disahkan lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kecederaan saraf tulang belakang,” katanya.
Pada peringkat awal, Daus sukar menerima kenyataan. Dia menjadi murung, suka menyendiri dan sering menangis.
Bagaimanapun, keadaan Daus berubah ketika menjalani rawatan susulan selama tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bangkit semula
Sepanjang di HKL, Daus menyaksikan keadaan pesakit-pesakit lain yang menjalani rawatan. Ada kes sepertinya dan ada juga kes kritikal kerana pesakit hanya mampu terbaring kaku di atas katil.
“Tidak semena-mena timbul rasa insaf dan syukur di dalam diri, sekurang-kurangnya nasib saya lebih baik berbanding orang lain.
“Lagi pun saya masih dikurniakan akal dan kudrat untuk bergerak, malah kedua-dua belah tangan saya juga langsung tidak terjejas,” kata lelaki yang masih bujang itu.
Enggan menoleh ke belakang, Daus menggunakan kemahiran yang dipelajari sebelum itu dengan mengambil upah membaiki telefon.
Seterusnya, dia mula bekerja di pusat siber dan kedai komputer. Di situ dia mahir membaiki komputer sehingga mampu membuka perniagaan sendiri, Filara Enterprise pada tahun 2009.
“Pelanggan saya terdiri daripada jiran tetangga, kenalan dan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Itulah punca pendapatan saya sekarang, setakat ini ia berjalan lancar, malah jumlah pelanggan juga semakin meningkat,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Daus turut berjinak-jinak dalam bidang fotografi selepas seorang rakan meminjamkan kamera DSLR kepadanya.
Sejak itu, dia semakin meminati hobi baharunya itu. Jika ada kelapangan, dia sanggup menghabiskan masa berjam-jam di sekitar kampungnya untuk mengambil gambar.
Mengakui tidak mempunyai asas dalam bidang itu, Daus tekad berguru dengan kenalannya yang dikenali sebagai Cikgu Zul, mengenai aspek teknikal kamera termasuk mempelajarinya menerusi internet.
Daus mengubah fasa daripada hanya sekadar hobi kepada satu tugas apabila dia diminta mengambil gambar perkahwinan salah seorang sepupunya.
Sejak itu, dia bertekad meneruskannya sebagai kerjaya sampingan selain menguruskan perniagaan sedia ada.
Katanya, kecacatan bukanlah penghalang untuknya berjaya dalam bidang fotografi.
Biarpun pergerakannya agak terbatas berbanding jurugambar yang lain, namun dia mampu menghasilkan gambar-gambar kreatif dan mempunyai nilai seni yang tinggi.
“Saya tidak merasakan kelemahan dan kekurangan dalam diri saya sewaktu berada di lokasi penggambaran.
“Bagi saya kekurangan ini membuatkan saya ingin membuktikan kreativiti dan kemampuan diri,” katanya.
Di bawah kelab fotografi, Fotoshutter, Daus mengembangkan bakatnya, malah dia kini semakin menjadi rebutan untuk majlis perkahwinan, fotografi potret individu dan berkumpulan serta majlis-majlis korporat di seluruh negara.
“Sebagai jurugambar, saya perlu melahirkan idea serta-merta ketika merakam gambar. Ia terhasil daripada pengalaman dan persiapan awal yang dilakukan sebelum sesuatu tugasan.
“Saya suka merujuk kepada gambar-gambar terbaik dalam media cetak dan mengkaji teknik atau gaya fotografi terkini. Kemudian saya menyesuaikannya dengan idea dan gaya sendiri,” katanya.
Adakah dia akan terus meneruskan minatnya di dalam bidang itu? Daus berkata, fotografi adalah kerjaya yang benar-benar sesuai dan sebati dengan jiwanya selain memberikan beliau kepuasan hidup,” ujarnya penuh makna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: