CERIA...kumpulan pendaki bergambar kenangan.
Sebaik dimaklumkan rakan sekerja mengenai ekspedisi mendaki Bukit Brogra, wanita kelahiran Muar, Johor, ini sanggup mengorbankan waktu rehat hujung minggu semata-mata mahukan kepuasan menjejak kaki di puncak ketiga bukit itu.
Perlu berada seawal jam 5.30 pagi di kaki bukit iaitu di kawasan ladang sawit sebelah timur pekan Semenyih, Massuhaila bersedia dengan persiapan mendaki bersama 14 rakan lain.
Mengenakan kemeja T berlengan panjang, berseluar trek serta kasut sukan, wanita yang juga anggota keselamatan itu menyifatkan ekspedisi menawan bukit terbabit sebagai pengalaman manis kerana diadakan pada hari lahirnya.
“Meskipun pernah melakukan aktiviti mendaki bukit sebagai sebahagian persiapan untuk kekal cergas berkhidmat, perjalanan kali ini memberi makna berlainan apabila penganjurannya jatuh pada tarikh lahir saya.
“Rakan yang menceriakan suasana dan saling menyokong sepanjang mendaki menyebabkan perjalanan selama sejam itu berasa lebih singkat,” katanya yang berbelas tahun meninggalkan sukan lasak itu.
Berikutan laluan bukit sedikit lembap selepas hujan di kawasan itu beberapa hari sebelumnya, Massuhaila yang mesra dipanggil Mas berkata, dia perlu teliti dan mendengar arahan ketua ekspedisi bagi mengelak kemalangan.
“Penting untuk mengingatkan diri serta rakan lain supaya berhati-hati dengan keadaan bukit yang licin disebabkan hujan,” katanya.
Pendapat itu disokong ketua ekspedisi, Isnin Ali yang turut mengingatkan peserta supaya menjaga keselamatan diri disebabkan puncak bukit 100 peratus membabitkan batu gunung.
“Puncak bukit adalah struktur batu gunung dan laluan ke puncak bukit juga sempit, menyebabkan peserta perlu bergilir-gilir dan bertoleransi bagi mengelak kesesakan.
“Malah, laluan naik dan turun dikongsi, jadi kerjasama serta tolak ansur penting dalam memastikan kelancaran pendakian kerana ada juga kumpulan pendaki lain mahupun yang datang berseorangan,” katanya yang turut kagum dengan keindahan bukit terbabit.
Ahli ekspedisi, Maziana Ibrahim berkata, pengalaman mendaki bersama rakan sungguh menyeronokkan.
“Kalau mendaki berdua atau bertiga, perjalanan tiga jam berasa panjang, tetapi apabila dalam kumpulan lebih ramai, kita akan lupa kepenatan dan sibuk melayan kerenah anggota kumpulan lain.
“Saya harap ekspedisi ini menjadi rentetan kepada penganjuran pendakian lebih mencabar seperti Gunung Nuang atau Gunung Tok Wan yang memerlukan kami bermalam,” katanya.
Dia tidak menafikan bukit setinggi 400 meter dari paras laut itu mempunyai cabaran tersendiri.
“Saya tidak percaya dapat sampai ke ‘check point’ atau puncak terakhir kerana laluannya sempit, tetapi rakan tidak putus-putus memberi galakan, menyebabkan saya terus mendaki sehingga berjaya sampai ke puncak,” katanya.
Bagi Radzi Razali, mendaki bukit adalah aktiviti sihat dan sesuai buat dirinya yang tiada rancangan hujung minggu.
“Bukan saja dapat menjalin hubungan muhibah dengan rakan, malah ia antara sukan terbaik untuk kesihatan jantung dan fizikal.
“Badan berpeluh sebaik mendaki, selain itu kita dapat menghirup udara segar kerana pendakian dilakukan pada awal pagi. Panorama menghijau pula membuatkan minda dan emosi kita tenang,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.
Mohd Yusfazizi Yahya, 27, pula kagum melihat pelbagai generasi mendaki bukit itu.
Bukit itu bukan saja dikunjungi orang muda, malah yang lebih kecil sehingga warga emas turut enggan melepaskan peluang menikmati pemandangan indah dari atas bukit.
“Saya tertarik melihat seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mendaki sambil ditemani neneknya berusia lewat 60-an, menandakan aktiviti mendaki bukan terhad untuk golongan seperti saya.
“Sifat sukan ini lebih universal andai ada kemahuan serta kekuatan fizikal dan mental,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.
Mohd Yusfazizi turut meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir pendaki tidak bertanggungjawab yang membuang sampah sehingga mencacatkan pemandangan.
“Di sebalik pemandangan indah, terselit rasa kesal dengan sikap segelintir pendaki meninggalkan sampah sehingga menimbulkan rasa kurang selesa pendaki lain.
“Mereka harus lebih prihatin dan memelihara kebersihan alam sekitar supaya keindahan alam di kawasan bukit terus dinikmati,” katanya.
PROFIL 1:
NAMA: Radzi Razali
UMUR: 33 tahun
ASAL: Kuching, Sarawak
STATUS: Bujang
PROFIL 2:
NAMA: Isnin Ali
UMUR: 30-an
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Berkahwin
PROFIL 3:
NAMA: Massuhaila Dawawi
UMUR: 30-an
ASAL: Muar, Johor
STATUS: Berkahwin
PROFIL 4:
NAMA: Maziana Ibrahim
UMUR: 30-an
ASAL: Bahau, Negeri Sembilan
STATUS: Berkahwin
INFO:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: