Monday, October 29, 2012

Didie Alias ajak rakan artis melancong


DIDIE bersama sebahagian artis yang bakal terbabit dengan program Jom Melancong Bersama Didie Alias & D'Geng.


BERMULA Disember ini para peminat yang berkeinginan bercuti bersama artis pujaan mereka berpeluang melakukannya dengan mengikuti program Jom Melancong Bersama Didie Alias & D’Geng.
Program tersebut merupakan anjuran Arlief Event & Management (AEM) dengan kerjasama pelakon dan pelawak, Didie Alias yang turut dilantik sebagai duta pelancongan syarikat berkenaan.
“Pastinya saya sangat bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada pihak AEM untuk menjadi wakil program pelancongan yang dianjurkan ini dan ia memberi peluang kepada saya melancong di merata-rata tempat.
“Bagaimanapun, ia tidak akan melibatkan diri saya seorang sahaja kerana di setiap lokasi saya akan mengajak satu atau dua orang artis untuk melancong bersama-sama peminat,” ujarnya pada majlis pelancaran yang diadakan di Menara KL, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara artis yang diundang memeriahkan percutian yang bakal dianjurkan itu termasuklah Erra Fazira, Sharifah Shahora, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Elfira Loy, Black, Mawi, Johan As’ari, Enot, Along Raja Lawak dan Dafi.
Menurut Didie, lokasi pertama yang akan disertainya adalah percutian di atas kapal peranginan dari Pulau Pinang ke Phuket dan Krabi, Thailand pada Disember ini (tarikh belum ditentukan) yang turut disertai Black.
“Selepas percutian ke Thailand, mereka yang berminat untuk melancong berpeluang menyertai percutian selama enam hari ke Beijing, China pada 25 hingga 30 Januari 2013 serta Kaherah, Mesir pada 21 hingga 26 Februari 2013,” jelasnya.
Selain ketiga-tiga lokasi berkenaan, pihak AEM turut menganjurkan percutian ke beberapa buah lokasi yang lain seperti Seoul, Korea Selatan serta Pulau Perhentian dan Pulau Langkawi.
Mengenai pemilihan sebagai duta program pelancongan syarikat berkenaan, Didie meluahkan rasa syukurnya kerana diberikan kepercayaan dan ia memberi peluang kepadanya untuk menjelajah ke merata-rata tempat.
“Sebenarnya saya memang seorang yang gemar melancong, tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana jadual kerja yang sangat padat. Jadi, dengan kerjasama ini saya dapat bercuti bersama-sama keluarga serta menghiburkan peserta program,” ujarnya.
Sementara itu, pengasas AEM, Muhamad Alif Haziq Azman yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut berkata, dia memilih Didie sebagai duta kerana tertarik dengan karakter pelawak tersebut.
Ujarnya, selepas kejayaan program percutian bersama Awie ke Beijing dan Mongolia pada Jun lalu, pihaknya merancang untuk menganjurkan program yang sama iaitu percutian bersama artis.
“Pada mulanya saya mengambil masa yang agak lama untuk memilih artis yang bersesuaian, kemudian saya banyak menonton program komedi yang membabitkan Didie. Akhirnya, saya membuat keputusan memilihnya dan yakin ia merupakan satu keputusan yang tepat,” jelasnya.
Hadiah lumayan
Bagi yang selalu menyertai program percutian bersama agensi pelancongan, antara aktiviti wajib yang dilakukan ialah para peserta akan dibawa berkunjung ke tempat-tempat yang menarik.
Menurut Didie, program Jom Melancong Bersama Didie Alias & D’Geng pihak syarikat turut menganjurkan beberapa permainan yang akan disertai para peserta dengan tawaran hadiah yang cukup lumayan.
“Untuk pakej pelancongan ke Beijing, China, harga yang ditawarkan sebanyak RM2,350 seorang, tetapi peserta yang berjaya memenangi permainan yang dianjurkan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
“Selain itu, setiap program percutian yang dianjurkan peserta akan dapat beramah mesra dengan artis yang terlibat. Saya percaya program ini akan memberikan kenangan yang cukup indah kepada peserta,” ujarnya.
Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai program percutian tersebut dah memerlukan maklumat lanjut mengenai pakej dan aktiviti, mereka boleh melayari laman web www.arlief.com atau menghubungi talian 03-6142 8072.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: