Wonder Girls
Wonder Girls
I want nobody, nobody but you...
I want nobody, nobody but you...


PASTI masih terngiang-ngiang di telinga kita, bait-bait lagu Nobody yang dinyanyikan oleh kumpulan dianggotai lima anak gadis berasal dari Korea Selatan ini.

Sejak diperdengarkan sekitar tahun 2010, lagu ini terus menjadi siulan anak muda, sama ada di negara mereka sendiri, mahu pun di Malaysia.

Mengimbas sejenak penubuhan kumpulan ini, ia mula ditubuhkan pada 2007, artis naungan JYP Entertainment ini pada awalnya dianggotai oleh Sunye, Yeeun, Sunmi, Hyuna dan Sohee. Kemudian, Sunmi dan Hyuna meninggalkan kumpulan tersebut dan digantikan oleh Yubin dan Lim, yang mana kekal sehingga hari ini.

Menariknya mengenai kumpulan yang dikenali sebagai Wonder Girls ini, nama kumpulan tersebut sebenarnya diilhamkan daripada ayat, the girls who can amaze the world.

Nyata pemilihan nama kumpulan ini bertepatan kerana anggotanya benar-benar mengagumkan sehingga berjaya menawan peminat di seluruh dunia. Bukan hanya kerana paras rupa sahaja, bahkan bakat serta kelincahan mereka juga sama hebat.

Sepanjang penglibatan dalam industri, Wonder Girls telah menghasilkan beberapa album seperti The Wonder Years (2007), The Wonder Years Trilogy (2008), Wonder World (2011), Wonder Party (2012), TBA (2012), Nobody For Everybody (2012) dan sebuah album kompilasi berjudul,  Wonder Best (2012).

Tembus pasaran antarabangsa

Tidak hanya tertumpu di negara sendiri, Wonder Girls turut meluaskan pasaran mereka di peringkat antarabangsa.

Bermula dengan mengadakan konsert jelajah di Bangkok, Thailand sekitar tahun 2009, mereka kemudiannya bergerak ke Amerika Syarikat.

Selepas itu, ibarat bulan jatuh ke riba, mereka ditawarkan bersama Jonas Brothers untuk menyertai konsert penyanyi tersohor Malaysia, Ziana Zain World Tour 2009 di Amerika Utara.

Kerana populariti mereka, lagu Nobody berjaya meletakkan Wonder Girls sebagai kumpulan pertama Korea yang memasuki carta Billboard Hot 100.

Menyedari Nobody mendapat sambutan daripada peminat antarabangsa, JYP Entertainment akhirnya membuat keputusan melancarkan lagu Nobody versi Inggeris.

Selain Nobody, syarikat itu turut mengeluarkan single bahasa Inggeris bagi Wonder Girls yang berjudul Tell Me.

Menariknya, kerana permintaan tinggi, sebuah album Inggeris Wonder Girls dilancarkan, yang mana mempunyai enam lagu Inggeris dan enam lagu Korea diterbitkan pada 2010.

Selepas kemunculan album itu di pasaran antarabangsa, Wonder Girls meneruskan misi mereka mengadakan lebih banyak konsert di Amerika Syarikat termasuklah di Kanada, Washington DC, Atlanta, New York , Chicago, Houston, Dallas, Los Angeles, Anaheim dan San Francisco.

Tawan peminat Malaysia

walaupun mempunyai golongan peminat yang besar di peringkat antarabangsa, namun Wonder Girls tidak pernah melupakan peminatnya di Malaysia. Atas alasan itu, kumpulan ini sering kali muncul mengadakan persembahan di sini.

Selain pernah membuat persembahan pertama mereka di Genting Highlands, Pahang, Wonder Girls juga tidak ketinggalan turut serta ketika The MTV World Stage Live in Malaysia 2010 yang diadakan di Sunway Lagoon.

Kemudian, mereka sekali lagi muncul bersama konsert mega di negara ini menerusi konsert Wonder Girls Wonder World Tour Malaysia 2012 yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 13 Oktober lalu.

Menariknya, kelima-lima anggota kumpulan tersebut membuat kejutan dengan mengenakan baju kurung sewaktu membuat persembahan bagi menarik perhatian peminat-peminat mereka di sini.

Pastinya, tindakan mereka tidak dilupakan peminat di sini kerana sudi menghormati budaya masyarakat Malaysia.

Yang nyata, menerusi konsert tersebut, mereka sekali lagi menawan peminat di sini.

Dalam pada itu, mereka juga berjanji akan datang semula ke Malaysia untuk siri konsert seterusnya, satu hari nanti.


TRIVIA

-Merupakan grup Asia pertama yang berjaya masuk ke carta Billboard Hot 100.
-Terpilih sebagai wanita terseksi versi majalah FHM Singapura di kedudukan 38.
-Merupakan grup Korea pertama menggunakan YouTube sebagai media promosi.
-Terdapat 50 jenis kostum disediakan bagi persembahan lagu Nobody.
-Antara penyanyi yang menerima bayaran paling tinggi, iaitu lebih daripada RM60 ribu.