Dalam pemikiran mereka, hanya terbayang jawatan guru agama, penceramah masjid atau surau. Maka timbul tanggapan bahawa lulusan jurusan ini hanya layak di sekolah, masjid dan surau.
Selain itu, masalah tersebut telah menambah jumlah pengangguran hingga terdapat suara sumbang dalam kalangan mereka menyalahkan kerajaan kerana gagal menangani kemelut itu.
Tindakan menyalahkan kerajaan wajar ditepis memandangkan peluang jurusan Syariah amat terbuka luas dalam pasaran kerja. Cuma mereka tidak mengetahuinya.
Bagi menjawab isu berkenaan, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang ditemui baru-baru ini berkata, tawaran pekerjaan bagi lepasan Syariah amat hangat dalam pasaran kerja dan terdapat banyak permintaan dari agensi-agensi kerajaan serta syarikat korporat.
Inisiatif
Sehubungan itu, timbul idea di peringkat PPMM bagi menyelesaikan kemelut tersebut ketika lawatan kerja Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ke Jordan pada 2010 yang turut disertai Zainul Rijal sendiri.
"Delegasi menemui para pelajar Jordan dan mereka banyak memberikan pandangan dan menyuarakan masalah kepada kami. Daripada itu, saya bertanya pada diri sendiri memandangkan mereka ini layak cumanya tiada pendedahan dan bimbingan berhubung soal tersebut.
"Bahkan seorang pelajar mencadangkan supaya PPMM menubuhkan satu badan atau kelab bertujuan membimbing para pelajar di Jordan berhubung soal itu,'' ujarnya.
Akhirnya atas inisiatif para pelajar dan dibantu oleh PPMM serta selepas dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom maka Kelab Peguam Muda Jordan (KPMJ) ditubuhkan dalam usaha memberi pendedahan dalam kerjaya peguam syarie.
Bahkan menyedari Mesir turut merupakan tempat tumpuan ilmu pengajian Islam, Zainul Rijal bersama jawatankuasa PPMM berlepas ke negara tersebut Februari lalu bagi tujuan sama.
Beliau mengakui program perintis berkenaan berjaya menarik minat para pelajar Syariah telah menyebabkan pihaknya bakal sekali lagi pergi ke Mesir dan Jordan pada November ini untuk mencungkil bakat baru dengan menggunakan pendekatan berbeza.
Menjelas pendekatan baru tersebut, Zainul Rijal berkata, pihaknya akan melatih dari segi kewangan Islam dan kemahiran lain. Alasan beliau ialah sektor lain juga memerlukan khidmat lepasan jurusan Syariah khususnya dari Asia Barat.
Seramai 20 orang yang disaring menerusi ujian temuduga akan menjalani latihan dalam kamar selepas tamat pengajian manakala yuran Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie ditanggung oleh firma guaman yang memberikan latihan itu. Setakat kini, terdapat 15 firma guaman memberi kerjasama dalam program itu.
Mereka yang mempunyai kelebihan membaca kitab-kitab ulama silam yang ditulis Bahasa Arab akan mengikat kontrak selama dua atau tiga tahun dengan firma guamanberkenaan.
"Selain memberi peluang pekerjaan kepada mereka, ia boleh menambah kualiti peguam syarie ketika mengendalikan kes untuk merujuk kepada kaedah fiqh dan pendapat ulama terdahulu dalam prosiding mahkamah.
"Sehubungan itu, kita melihat kerjaya Syariah terbuka luas dan amat rugi bagi mereka jika ia dilihat hanya sesuai untuk menjadi ustaz atau ustazah. Kita tidak mempersoalkan profesion itu, tetapi biarlah lepasan jurusan agama berada dalam pelbagai sektor.
Pusat Mediasi Islam
"Para pelajar perlu bersedia dan produktif mencari peluang pekerjaan. Jangan merasakan kita tidak mampu untuk menceburi pasaran kerja,'' ujarnya.
Beliau melihat cadangan Pusat Mediasi Islam yang bakal ditubuhkan tahun hadapan bertujuan menyelesaikan segala permasalahan berkaitan syariah tepat pada waktunya dengan kewujudan program Kelab Peguam Muda berkenaan kerana peserta-peserta itu akan ditempatkan dalam organisasi tersebut.
Zainul Rijal berharap program itu akan menambah kualiti peguam syarie dengan penguasaan ilmu fiqh dan ia ditambah dengan kemahiran mengendalikan prosiding mahkamah.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan agensi-agensinya serta pelbagai pihak yang telah menyalurkan dana dalam membantu projek berkenaan. Bagaimanapun, pihaknya masih memerlukan dana kerana usaha itu adalah berterusan dan tidak terhenti setakat tahun ini.
"Kita berharap dalam tempoh lima tahun lagi, kualiti peguam syarie akan lebih baik dari hari ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: