Thai berkata, dia tidak berniat untuk memperkenalkan istilah yang negatif kepada masyarakat sebaliknya ia sebagai satu kesinambungan kepada perkataan 'Apa Celop' yang dihasilkannya sehingga popular sebelum ini.
"Idea ayat 'mangaribut' itu datang daripada saya sendiri untuk digunakan dalam filem terbaru saya dan ia bukan memberi apa-apa maksud negatif sebaliknya untuk menggambarkan sifat gelabah seseorang," ujarnya kepada mStar Online.
Selain 'mangaribut', Thai memberitahu dia turut memperkenalkan ayat 'orang dok nengok ajelah kau ni' dalam filem tersebut sebagai salah satu lagi simbol kepada filem arahan Ahmad Idham itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perselisihan faham yang didakwa berlaku di antara dia dengan Ahmad Idham, Thai berkata perkara itu diperbesar-besarkan oleh pihak lain dan ia hanya masalah kecil.
Katanya, pertengkaran adalah perkara biasa namun jangan terlalu terbawa-bawa sehingga boleh merosakkan hubungan dan merugikan kedua-dua belah pihak.
"Ada satu titik kita akan jumpa satu simpang yang boleh menyebabkan perselisihan faham dalam satu perkara dan saya menganggap itu perkara biasa kerana ia berkaitan dengan kerja.
"Bagaimanapun ia adalah perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan baik," katanya.
Sementara itu, Thai berkata, dia amat berterima kasih kepada Ahmad Idham kerana telah banyak membantu mempopularkan jenama 'Apa Celop' sehingga ia menjadi satu fenomena.
Thai berkata, walaupun ia adalah idea asalnya tetapi pengaruh pengarah terkenal itu telah merealisasikan impian berkenaan.
"Kalau Idham tak popularkan jenama 'Apa Celop' itu tidak akan ke mana dan penggunaan perkataan itu telah menjadi fenomena dan ikutan masyarakat," jelasnya.
Filem Apa Celop Toqq sedang ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia bermula 25 Oktober lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: