|
|
SUATU ketika dahulu, kategori Artis Baru Terbaik dalam Anugerah Industri muzik pernah diberi jolokan terkena badi atau sumpahan. Jolokan berbaur negatif itu berpunca daripada pemerhatian secara rawak penerima anugerah terhadap jangka hayat dalam industri muzik.
Tidak berlaku kepada semua bekas penjulang trofi itu, namun kelibat beberapa penyanyi yang pernah menikmati letusan seketika itu hilang bersama waktu. Nama-nama seperti Sarimah Ibrahim, Nouri, Shawn Baharin, mereka itu antara yang ketara tidak mampu bertahan untuk terus melebarkan sayap.
Menyingkap susur masa, kali pertama dianjurkan pada tahun 1994, kategori artis baru dibahagikan kepada dua, iaitu solo dan berkumpulan.
Sepuluh tahun kebelakangan ini, nasib artis baharu AIM menunjukkan lonjakan menarik. Pada AIM14, Ezlyn muncul menggondol anugerah itu, diikuti pula oleh Vince (AIM12), Jaclyn Victor AIM13, manakala Sean Ghazi (AIM14).
Pencapaian artis-artis yang muncul dan bertapak dari kerusi artis baharu terbaik menunjukkan anugerah itu medan terbaik untuk pendatang baharu dunia muzik menonjolkan kemampuan.
Tahun ini, lima nama lagi iaitu Keroz Nazri, Stephen Rahman Hughes, kumpulan Mojo, Salam Musik dan The Malayan muncul dalam senarai pencalonan akhir kategori berkenaan dalam AIM19.
Mahu pendedahan
Berbeza genre muzik, latar belakang serta pengalaman, calon-calon kategori Artis Baru AIM19 tidak mahu memikirkan persoalan tentang sumpahan atau tabu yang pernah diperkatakan. Jangka hayat dalam industri itu bergantung kepada usaha berterusan, yang penting bagi mereka, AIM19 tetap medan terbaik untuk memperkenalkan muzik dan jenama mereka kepada industri.
“Kami (The Malayan) mahukan pendedahan, dan naik ke pentas AIM untuk lebih dikenali. Biarlah orang kata sesetengah artis dalam kategori ini datang dan pergi, tapi tetap harapkan kemenangan pada malam kemuncak nanti,” jelas Khian, pemain gitar The Malayan.
Sebelum The Malayan ditubuhkan pada tahun 2010, Khian bersama-sama dengan vokalisnya, Andy pernah bersama-sama membentuk kumpulan Spiral Kinetic Circus pada 1996.
“Kami mahu tinggalkan impak untuk persembahan di malam AIM nanti, biar orang kenal nama The Malayan,” jelas Andy yang selesa membawa anak sulungnya, Megat Daniel Azreen, 21 bersama-sama dalam angkatan The Malayan.
Kata Daniel: “Saya cuma mahu main muzik. Dari kecil saya tengok AIM dan ayah saya atas pentas. Sekarang, saya sendiri dapat sokongan dan bermain muzik sekumpulan dengannya. Bila peluang dapat masuk ke AIM, saya cuma tak sabar. Rasa gementar dan terharu pun ada juga,” jelas Daniel yang turut muncul dengan band sendiri, Loka tidak lama lagi.
Menang atau tidak, malam penentu AIM yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 17 November nanti hanyalah satu permulaan.
“Album kami, The Malayan sudah dilancarkan sekitar Julai lalu, ketika itu sibuk dengan puasa dan raya. Muzik video dan single kami, Aku Bukan Legenda juga sudah lama dilancarkan. Kami tetap bergerak tapi dalam gig-gig yang kecil. Baru-baru ini, kami jadi artis buka tirai untuk konsert Noah di Kuala Lumpur. Untuk promosi, kami rancang untuk mulakan gig jelajah menjelang Januari tahun depan.
“Sekarang sibuk juga dengan gig-gig berskala kecil. Daniel sendiri ada projek album dengan kumpulannya sendiri. Saya yang akan terbitkan album mereka,” beritahu Andy, tonggak The Malayan yang turut dianggotai seorang lagi ahli, Hafiz pemain drum.
Keroz mahu terus aktif
Nama Keroz Nazri masih agak janggal dalam industri. Namun susunana langkah si pemilik nama Khairul Nizam Bin Nazri ini sedang bijak diatur.
Keluar dengan single perdana bertajuk Suatu Hari Nanti yang diedarkan oleh Life Records, kini Keroz masuk ke dalam proses mempromosikan lagu keduanya yang bertajuk Sedia Bercinta Lagi.
Gemuruh untuk mengadakan persembahan di AIM kelak, buat Keroz medan itu bakal memberi impak kepada penyanyi baharu.
“AIM memberi peluang kepada penyanyi baharu yang lagunya tidak popular di radio. Saya melihat AIM sebuah medan yang telus dan diadili oleh golongan profesional,”ujarnya yang mendapat pendidikan formal di ASWARA.
Untuk Keroz, menjadi penyanyi baharu dalam industri punya cabaran tersendiri.
“Untuk kekal dalam industri, seseorang itu perlu keluar dengan keaslian. Mungkin mengambil masa namun hasil ini akan terbukti di masa akan datang. Kekal dengan satu konsep, itu antara yang saya nampak,” ujar Keroz yang bertanggungjawab untuk mengajar vokal dan mencipta lagu tema untuk program realiti Kamilah Bintang terbitan Astro.
Diberi topik badi AIM, ujar Keroz ,”Semua ini bergantung kepada kreativiti artis baharu itu untuk mencorak langkah selepas mendapat pengiktirafan. Samada artis itu punya perancangan atau tidak.”
Tambah Keroz yang bakal menyarung persalinan Farid Rosy Eksklusif di karpet merah AIM kelak,”Inilah cabaran buat artis tersebut. Kalau dia ambil masa yang lama untuk produk seterusnya, itu yang akan nampak dia menyepi diri. Perlu juga disokong dengan produk yang baik.”
Ini komuniti Salam
Studio fotografi diserang oleh sekumpulan anak muda yang datang dengan nama Salam. Berjenterakan Salam (vokal), Eyza Bahra (vokal kedua), Tip (vokal ketiga), Kamal (gitar), Ferdy (bass), Bulya (drum), Payung (trumpet), Ammar Habir (keyboard) dan Djambul (seksefon), ini adalah perjuangan sebuah komuniti.
“Salam itu bukan grup sebaliknya sebuah komuniti. Awalnya Salam dibentuk pada tahun 2006 apabila Salam dan Tip bertemu di Lim Kok Wing. Kami keluar dengan lagu Cerita Kedai Kopi bersama Dj Fuzz dan Malique,” intro Salam.
Selepas dikenali dengan single perdana tersebut, komuniti ini berusaha menghabiskan lagu-lagu yang telah mereka ciptakan untuk membentuk sebuah album. Mereka kemudian keluar dengan lagu Lupakan Semalam dan Alamak.
Tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik adalah satu kejutan besar buat komuniti Salam, sepakat mereka menganggap bahawa nominasi ini akan memberikan impak yang agak drastik. AIM adalah sebuah platform untuk mereka terus berkembang dan mereka bersyukur kerana turut diberi peluang membuat persembahan.
“Apabila masuk tentang muzik, kami memainkan bunyi untuk lirik yang ditulis. Ya, kami ambil msa untuk merakamkan kerana tiada paksaan dalam bermuzik. Kami biarkan muzik hidup dengan sendiri,” ucap Salam lagi yang muncul dengan lagu Bangkit bersama Altimet dan Dj Fuzz.
Menyentuh soal badi,interpretasi Salam muncul tersendiri,”Cakap pasal badi AIM, ini semua terpulang kepada muzik itu. Kalau pemuzik atau artis itu tahu perjuangan, akan ada rezeki. Seperti lagu Salam, kami memang ada perjuangan tema cinta. Tetapi cinta kami dalam bentuk sosial dan kemanusiaan. Tema ini tidak akan habis. Setiap manusia perlukan masing-masing dan jangan berlagak sombong.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: