Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya menghargai usaha kementerian yang mendengar rungutan persatuan itu sejak sekian lama berhubung isu bayaran murah oleh stesen televisyen (TV) di negara ini.
Katanya, pada Khamis lalu, PTVM, wakil-wakil kesemua stesen negara ini serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengadakan mesyuarat dengan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf bagi mencadangkan pelarasan harga standard pembelian drama dan telefilem pada semua stesen mengikut harga RTM.
“Kami bersyukur dan begitu menghargai reaksi kementerian terhadap rungutan disuarakan PTVM berhubung isu bayaran murah oleh stesen TV selama ini.
“Alhamdulillah, hasil mesyuarat dengan KSU pada Khamis lalu, sebuah mesyuarat di antara semua wakil TV dengan menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim akan diadakan dalam waktu terdekat bagi memutuskan perkara itu,” katanya.
Jurey berkata demikian ketika dihubungi mStar Online pada Selasa sebagai respons kepada kenyataan dikeluarkan Kamaruddin pada Selasa berhubung isu tersebut.
Pada masa ini, harga pembelian bagi program TV dibayar mengikut kualiti yang dinilai oleh panel penilaian dan diluluskan oleh Jabatan Perbendaharaan.
Kadar yang ditetapkan bagi sebuah telefilem di RTM adalah antara RM100,000 hingga RM150,000 manakala bagi drama bersiri pula antara RM40,000 hingga RM45,000 setiap episod.
Kata Jurey, rungutan tersebut disuarakan kerana pihaknya meminta agar pelarasan harga bayaran standard dikenakan ke atas semua stesen di negara ini bagi memudahkan pihaknya menetapkan kadar baru bayaran kru sesebuah produksi.
Kali terakhir harga bayaran pembelian drama dan telefilem dinaikkan adalah pada 17 tahun lalu.
“Selama ini, kita susah untuk menetapkan kadar bayaran tertentu kepada para pekerja produksi kerana harga bayaran drama adalah berbeza di antara stesen TV.
“Sebab itu, pada mesyuarat lalu, kita bersepakat untuk meminta pelarasan harga standard bagi pembelian drama agar memudahkan kita mengkaji bayaran gaji yang bersesuaian kepada pekerja produksi pula pada masa akan datang,” katanya.
Jurey berkata, kenaikan harga bayaran pembelian drama dan telefilem itu adalah wajar memandangkan kos sara hidup semakin meningkat saban tahun.
Sejak 1995, harga pembelian program TV dikeluarkan mengikut kehendak stesen televisyen masing-masing.
Bagi sebuah telefilem, sebut harga di RTM (Radio Televisyen Malaysia) adalah di antara RM100,000 hingga RM110,000, Media Prima (RM85,000 hingga RM89,000) dan Astro pula meletakkan harga RM80,000 hingga RM90,000.
Untuk drama 60 minit pula, penerbit akan mendapat bayaran sebanyak RM40,000 hingga RM45,000 bagi RTM, Media Prima (RM35,000 hingga RM40,000) dan Astro (RM35,000 hingga RM40,000).
Pada awal Mac lalu, PTVM meminta kerajaan mengeluarkan garis panduan kepada semua pemilik stesen TV di negara ini supaya dapat menyelaraskan kadar pembelian program-program TV yang tidak pernah berubah sejak tahun 1995.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: