|
|
SAMBUTAN Aidiladha di sebahagian besar negeri di Pantai Barat di negara ini mungkin tidak semeriah Hari Raya Aidilfitri. Bagaimanapun, masyarakat Islam di Malaysia masih menghargai kenikmatan kurniaan Allah itu yang mengangkat nilai pengorbanan dalam kehidupan.
Dalam kesederhanaan, kaum Hawa tidak sekali-kali melepaskan peluang melaram pada pagi Aidiladha tatkala berkumpul bersama keluarga. Walaupun diraikan dalam tempoh singkat, persalinan istimewa yang sopan harus menjadi pilihan agar diri tampak bergaya dan menawan.
Baju kurung moden atau kaftan dengan percikan rona terang menjadi sandaran Hasfitri Yusof, 25. Ujar pereka yang bernaung di bawah Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) itu, setiap rekaannya boleh dipadankan bersama baju berbeza bagi menampilkan stail tersendiri.
“Potongan yang saya terapkan bersifat kontemporari, jadi ia tidak terhad untuk musim perayaan sahaja,” kata Hasfitri yang dinobatkan sebagai pereka pakaian wanita terbaik pada acara Muay Thai VS Asia (The Best of Malaysia) baru-baru ini.
Signatur
Mainan rona kontra pada baju potongan klasik membangkitkan perasaan ceria si pemakai. Ia turut diperindahkan dengan batu-batu jemeki yang menjadi signatur Hasfitri.
Kurung moden putih yang digabungkan dengan renda berwarna gelap sesuai digayakan ketika menghadiri majlis keraian atau berkunjung ke rumah terbuka. Sekiranya mahukan kelainan, sarungkan busana dengan teknik lipatan dan balut yang boleh dipadankan bersama songket rona hangat.
Anda inginkan imej klasik? Sarungkan baju kurung tradisional yang mendapat suntikan moden hasil kerja Melvin Shah. Kurung pesak seperti pesak gantung, kurung Riau dan kurung Pahang bakal menciptakan penampilan ringkas yang ayu.
Menepati ciri-ciri sepasang kurung klasik, potongan yang disediakan sedikit longgar dan ia sengaja direka untuk tidak menampakkan bentuk badan si pemakai. Namun, anda boleh mengolah potongan tersebut mengikut cita rasa tersendiri asalkan konsep tradisional itu tidak hilang.
“Wanita muda sukakan kurung tradisional yang telah dimodenkan, jadi, saya menambah manik-manik pada bahagian leher kurung Johor, sulaman lebih sarat dan banyak menggunakan mutiara dan kristal.
“Warna-warna neutral mengisi palet utama untuk koleksi baharu ini dan material saya tekankan ialah sutera Thailand, sutera mentah, tafeta dan syantung,” jelas Melvin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: