Tuesday, October 30, 2012

Pembebasan kecergasan dalaman


SEBAHAGIAN daripada para peserta bengkel The Fabulous Female Tuesday yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.


BUAT pertama kali dalam sejarah di Celebrity Fitness, wanita daripada setiap peringkat umur diberi peluang mempelajari teknik pembebasan kecergasan dari dalaman.
Bengkel yang diberi nama The Fabulous Female Tuesday itu turut mendedahkan wanita dengan pengetahuan mengenai penyakit kanser dan petua kecantikan.
"Di Celebrity Fitness, kami melihat perubahan keyakinan seseorang itu selepas mereka berjaya menguasai keupayaan dalaman masing-masing. Ramai individu terlalu mengagungkan kecantikan luaran sehingga kita lupa segalanya bermula dari dalaman.
"Sekiranya anda berasa cergas dan yakin diri, anda pasti kelihatan cantik," ujar pengurus pemasaran senior Celebrity Fitness, Evelyn Low.
Menariknya, bengkel tersebut turut mendapat kerjasama Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Skin Potential dan Amber Chia Academy. Wakil setiap organisasi yang hadir pada bengkel itu juga menyumbangkan pengetahuan mereka tentang pelbagai topik melibatkan kesihatan, kecantikan dan keyakinan diri.
Wakil MAF, Dr. Ilias Adam Yee berkongsi statistik tentang kanser di Malaysia dan turut menyampaikan nasihat tentang cara-cara menghindarkan diri daripada tergolong dalam kumpulan 8,000 wanita yang menjadi mangsa penyakit itu setiap tahun.
Selepas ceramah kesihatan itu, para peserta mempelajari tip-tip kecantikan dan rahsia untuk tampak berseri menerusi slot kendalian Amber Chia Academy dan Skin Potential. Kesemua peserta kemudiannya mengeluarkan peluh mereka dengan sesi tarian DNA Perrea yang dipimpin jurulatih dari Celebrity Fitness.
"Saya amat gembira kerana hari ini, para peserta dapat menimba ilmu berguna terutamanya tentang pencegahan kanser yang boleh dikongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka.
"Wanita adalah tulang belakang kepada keluarga dan kami percaya, mereka mampu membawa perubahan besar dalam keluarga masing-masing," jelas Evelyn lagi.
Bengkel tersebut turut mendapat kerjasama beberapa pihak lain seperti Carolina Herrera, Clique Clinic, Silky Girl, Blackmores, Her World, O'Briens dan Boost Juice Bars.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: