Tuesday, October 30, 2012

Kuku harimau, serigala bawa tuah


KUKU harimau (kanan) dan taring serigala (kiri) yang didakwa tulen oleh peniaga Tamil Nadu di Brickfields.


KUALA LUMPUR – Sekumpulan warga Tamil Nadu dari India sejak kebelakangan ini dikesan giat menjual pelbagai peralatan eksotik daripada haiwan termasuk kuku harimau palsu di negara ini.
Kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang lelaki dan wanita berpakaian tradisional India itu didapati menjualnya di kawasan tumpuan ramai terutama di kawasan perniagaan utama sempena perayaan Deepavali tidak lama lagi.
Tinjauan di Brickfields di sini baru-baru ini mendapati seramai 12 orang lelaki dan wanita India menjual ratusan rantai bijian serta kuku harimau palsu di tepi-tepi jalan.
Seorang penjual yang berasal dari Trichy, Tamil Naadu mengaku menjual kuku harimau dengan pelbagai saiz pada harga RM100 hingga RM500.
“Adakah awak mempunyai masalah di tempat kerja atau ingin naik pangkat atau sering diganggu kuasa jahat? Jangan risau, kuku harimau akan membantu.
“Kuku harimau ini tulen dan diperoleh daripada Orang Asli yang digelar kuravar menerusi aktiviti memburu dalam hutan di Tamil Nadu,” dakwanya sambil menunjukkan beberapa keping kuku harimau yang dijualnya.
Selain itu, lelaki itu juga menunjukkan beberapa batang taring dan tanduk serigala yang dijual pada harga RM100 setiap satu.
Seorang lagi penjual wanita warga India pula juga mengaku mempunyai kuku harimau dan mendakwa mengikut kepercayaan Hindu, ia dapat membantu melindungi diri daripada kuasa jahat, cemburu, mempercepatkan kenaikan pangkat dan membawa kekayaan.
“Awak tidak perlu risau. Kata-kata saya memang benar, cubalah beli dan simpan bersama awak, nanti dapat lihat perubahan,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tipu helah kumpulan warga India yang menjual kuku harimau kerana ia sebenarnya palsu.
Kuku dan taring yang dijual itu sebenarnya dibuat daripada campuran pelbagai jenis plastik.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow mendakwa selain Brickfields, sindiket yang sama juga beroperasi di Pulau Pinang, Ipoh (Perak), Tengku Kelana di Klang (Selangor), Melaka dan Johor.
“Di Pulau Pinang peniaga ini ramai beroperasi di kawasan Market Street dan Queen Street,” katanya.
Menurut Subbarow, peniaga terbabit menggunakan pujuk rayu sehingga menyebabkan warga tempatan membeli barangannya.
“Mereka boleh kaut keuntungan sehingga mencecah RM6,000 menerusi penjualan kuku harimau dan serigala palsu itu dalam masa sebulan,” katanya.
Dakwanya lagi, selain Deepavali, kumpulan yang sama juga kelihatan sepanjang musim perayaan iaitu Thaipusam sejak dua tahun lalu.
“Memburu atau menjual kuku harimau sama ada tulen atau palsu sememangnya dilarang sama sekali di negara ini selain menipu pelanggan.
“Jadi kita harap pihak berkuasa menjalankan operasi membanterasnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: