Intan Ladyana, Hazama
Intan Ladyana (kiri), Hazama (kanan) Foto Azmi Aryanto
Jika biasanya pada Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban, kebanyakan orang tertumpu pada ibadah korban-sembelihan lembu, kambing atau unta di masjid dan surau.

Lain pula ceritanya dengan penyanyi yang kini sudah bergelar pelakon, Hazama Azmi atau Hazama. Selepas selesai melihat ibadah korban dilakukan, dia dan rakan-rakan sebaya beralih ke rumah jiran tetangga untuk beraya.

"Masa itu kecil lagi, manalah saya tahu raya korban tak sama dengan raya puasa. Lepas lihat lembu disembelih, saya dan kawan-kawan terus ke rumah jiran.

"Niat memang nak kumpul duit rayalah. Saya pula masa itu, siap pakai terompah mak saya lagi. Adalah juga dapat duit, 20 sen, tapi masa itu rasa dah banyak pada saya," ujarnya sambil ketawa kepada Zass.

Bukan sekadar peristiwa itu yang dikutip menjadi kenangannya, cerita Hazama, ketika berusia enam tahun, dia sama-sama ke masjid Al-Ansar, Taman Keramat, pada hari raya untuk bersolat sunat Aidiladha dan seterusnya melihat lembu dikorbankan.

"Selesai sahaja solat sunat, kami diminta beratur untuk bersalaman dan seterusnya menerima daging korban. Kebetulan hari itu ada wartawan dan jurugambar yang hadir ke masjid tersebut.

"Jadi adalah gambar saya masuk dalam surat khabar, siap dengan nama sekali kerana menerima daging korban. Masa itu, memang bangga habislah sebab kecil lagi, kemudian masuk akhbar pula," katanya.

Lain pula ceritanya dengan Intan Ladyana yang memberitahu, sambutan Hari Raya Aidiladha lebih meriah di kampung halamannya di Bangkok, Thailand lebih meriah berbanding Hari Raya Aidilfitri.

"Kalau hari raya puasa di sana, biasa-biasa saja, tapi hari raya korban memang meriah. Malah, kami juga akan masak bermacam-macam jenis lauk dengan daging korban itu untuk makan bersama keluarga. Selain itu, kami akan menziarahi saudara mara," katanya.

Mengimbau pengalamannya semasa hari raya korban, Intan berkata, dia pernah fobia setengah hari kerana kasihan melihat lembu tersebut mati disembelih, namun apabila melihat daging tersebut dimasak, dia terus lupa kepada lembu tersebut.

"Intan tidaklah fobia betul-betul, cuma kasihan melihat lembu tersebut disembelih. Tapi bila sudah makan, lupa sekejap hal lembu itu," katanya.

Mengakui rindu dengan suasana berhari raya di kampung halaman, Intan berkata, dia terpaksa mengorbankan kerinduan itu kerana tidak mempunyai masa yang suntuk pulang ke Bangkok.

"Biasa di sini kalau cuti hari raya korban, sehari dua saja. Jadi manalah nak cukup untuk Intan pulang ke kampung. Jadi terpaksalah beraya di sini sahaja bersama keluarga," katanya.


 Pengorbanan Hazama

Bercakap erti pengorbanan, ia membawa maksud yang besar dan berbeza pada setiap individu, begitu juga dengan Hazama.

Katanya, dia mungkin tidak mampu untuk membayar semula segala pengorbanan dan keringat kedua orang tuanya, namun berharap dapat menjaga mereka apabila mereka sudah tua nanti.

"Itulah impian saya iaitu mahu menjaga ibu dan bapa saya apabila mereka sudah tua kelak. Menyara kehidupan mereka. Mungkin dengan cara itu, saya dapat membalas balik segala pengorbanan mereka kepada saya sebelum ini," katanya.

Selain itu, Hazama berkata, semenjak menjadi orang yang dikenali, dia juga terpaksa mengorbankan privasinya.

"Kadangkala saya sibuk dengan kerja dan masa dengan keluarga memang suntuk. Malah, saya juga perlu berkorban untuk hadkan segala perbuatan saya, biar kelak tidak jadi percakapan orang.

"Malah, katakan saya ke tempat persembahan naik bas, atau pengangkutan awam, percayalah selepas itu mesti ada yang akan bercakap yang bukan-bukan," selorohnya.


Intan hantar ibu bapa ke Makkah

Bagi Intan pula, hasratnya untuk menghantar kedua ibu bapanya menunaikan rukun Islam kelima, mungkin akan tercapai sedikit masa lagi dan ibu bapanya kini sedang menunggu giliran untuk ke sana.

"Alhamdulillah, segala perbelanjaan untuk ke sana, sudah Intan siapkan. Cuma sekarang ini, hanya tunggu giliran sahaja dan menurut kata ibu, mungkin mereka akan dapat menunaikan haji pada 2014.

"Walaupun tinggal dua tahun lagi, tapi pada Intan, masih jauh lagi. Harap segalanya dipermudahkan dan hasrat mereka menunaikan Haji akan tercapai," katanya.


 Puas hati

Menyentuh mengenai gandingan pertama mereka dalam filem Ape Celop Toqq, Intan berkata, dia yang baru pertama kali menonton filem itu pada sesi pratonton Selasa lalu di TGV Sunway Piramid, Bandar Sunway, berpuas hati dengan keseluruhan filem berkenaan.

Katanya, dia juga mendapat respons yang cukup baik daripada penonton yang hadir pada malam itu.

"Saya rasa lakonan Hazama okey, jalan cerita juga menarik dan kelakar habis. Jadi secara keseluruhannya, saya memang berpuas hati dengan hasil filem ini dan lakonan saya," katanya.

Sama seperti Intan, Hazama berkata, dia juga berpuas hati dengan keseluruhan hasil filem berkenaan.

"Memandangkan ini adalah filem pertama lakonan saya, jadi saya agak berpuas hati dengan keseluruhan filem ini. Cuma ada babak yang melibatkan saya, saya rasa boleh buat lebih bagus daripada apa yang saya beri.

"Tapi yang lain-lain, dari segi jalan ceritanya, saya memang berpuas hati, apatah lagi ia ada sikit-sikit persamaan dengan hidup saya iaitu bagaimana impian saya nak jadi penyanyi.

"Malah, ketika babak saya gemuruh dalam filem ini seperti rasa nak buang air besar dan sebagainya, ia adalah pengalaman sebenar saya sendiri," katanya.