|
|
WAJAH wanita muda ini sering dilihat di saluran 8TV sebagai pengemudi program. Lincah dan petah berbicara, Megan Tan merupakan pemegang Ijazah Psikologi dan Komunikasi dari Kolej Segi.
"Saya bertemu dengan ramai orang. Pembelajaran saya dahulu membantu saya menyesuaikan diri dengan keadaan.
"Ada pelbagai cara untuk berkomunikasi apabila berhadapan dengan bermacam-macam karakter. Saya juga dapat memahami perangai manusia dengan lebih baik.
"Sebagai pengacara, saya banyak menemu ramah orang dan itulah yang membantu saya mendapatkan informasi," ujar gadis berusia 23 tahun ini yang pernah menemu bual pelakon filem Harry Potter di London.
Bercerita tentang sejarahnya memasuki dunia glamor berdepan kamera, Megan lincah membuka cerita.
"Saya terlibat dengan bidang pengacaraan sejak berusia 10 tahun lagi iaitu ketika mengacarakan program Golden Kids Club di RTM. Kemudian saya berhenti untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.
"Pada akhir November 2009, saya mencuba nasib dalam pertandingan 8TV Quickie Search. Saya berjaya terpilih dan pada Januari 2010, saya memulakan tugas sebagai pengacara 8TV Quickie," ujarnya yang fasih berbahasa Melayu.
Bukan sekadar mengemudi program terkenal di saluran urban itu, wajah manis dan karakter ceria Megan menjadi tarikan bagi syarikat tertentu untuk mengetengahkan produk mereka. Terbaru, Megan menjadi pilihan produk Veet.
"Sebelum ini saya menjadi duta Blackberry. Terkini, saya menjalankan kempen untuk produk Johnson & Johnson serta Veet.
"Bersama Diana Danielle dan Tanuja, kami menjadi juri bagi pencarian Miss Veet," ujarnya yang memilih pemenang berdasarkan personiliti dan keyakinan diri peserta.
Lepas ujiannya dalam bidang pengacaraan dan duta produk, Megan yang pernah berlakon telefilem Sakura arahan Rosnani Jamil bersama Shahrizal Jaszle ini menyimpan hasrat untuk aktif berlakon pula.
Sebelum ini, gadis kelahiran Pulau Pinang ini pernah menempa pengalaman berlakon filem CE1 arahan Aziz M. Osman dan Apokalips arahan Mamat Khalid.
Dia yang sedar industri lakonan Malaysia didominasi pelakon dan penonton Melayu bersedia untuk berdepan cabaran bergelar aktres.
"Saya memegang prinsip walau apa pun yang saya buat, saya lakukannya dengan fikiran yang terbuka.
"Sebagai persediaan, saya banyak bergaul dan berbual dalam bahasa Melayu.
"Saya juga perlu bekerja keras dan melakukan yang terbaik," katanya yang terpaksa menolak tawaran sebagai pelakon utama sebuah telefilem kerana masalah jadual.
Melihat kelincahannya berdepan kamera dan kena gayanya dalam berfesyen, Megan mengakui menjadikan Blake Lively dan Lauren Conrad sebagai panduan.
"Saya gemarkan selera fesyen mereka.
"Lauren Conrad mempunyai blog sendiri dan sangat bijak berfesyen manakala Blake Lively yang terkenal melalui siri The Gossip Girl menerapkan elemen feminisme dalam gayanya," ujarnya teruja.
"Dalam realiti, kakak saya banyak membantu. Dia gemarkan fesyen dan seseorang yang sangat mengerti akan diri saya," sambungnya yang menganggap personaliti yang akan membuatkan seseorang itu tampak mahal dalam apa sahaja busana yang dikenakannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: