Sunday, October 28, 2012

Kid Search ditaja


Iris Iskandar (pembantu peribadi Kid) , Kennihata, Kid dan Azmie (krew Kid) bertemu mata sewaktu penyerahan gitar di Bangi Kopitiam, Taman Melawati.


PADA bulan ini, gitaris Eddie Van Halen daripada grup Van Halen telah dinobatkan majalah Guitar World sebagai gitaris terbaik nombor satu sepanjang sejarah.
Maka tidak hairanlah apabila topik Van Halen dan gitarisnya menjadi pembuka dan penyambung perbualan dua insan yang mengidolakan gitaris grup tersebut.
Kid, gitaris grup Search dan terdahulu dengan Gersang telah bertemu mata dengan Encik Kennihata yang terbang jauh dari Jepun hanya untuk bertemunya.
Encik Kennihata merupakan pemilik syarikat Tommy Guitars yang berpusat di Osaka, Jepun. Pernah menjejakkan kaki ke Malaysia 22 tahun lalu, kini dia kembali lagi hanya untuk seorang gitaris bernama Kid.
"Saya diperkenalkan oleh seorang teman akan kebolehan Kid. Lalu, saya tonton di laman YouTube. Ternyata dia seorang gitaris yang hebat. Kedatangan saya kali ini adalah untuk menyerahkan dua buah gitar Kramer khas untuk kegunaannya," ujar Kennihata berbesar hati dengan pertemuan yang diaturkan di Bangi Kopitiam, Taman Melawati.
Lalu apabila bertemu, Kid dan Kennihata berboal tentang sejarah gitar dan bagaimana mereka boleh mencintai intrumen bertali tersebut. Berkali-kali nama Eddie Van Halen muncul dalam perbualan mereka dan penyambungan kimia mereka tercetus atas nama gitaris hebat tersebut.
Diselang seli ceritanya, Kennihata sempat memberitahu Kid bahawa dia sempat bertemu Andy Summers (gitaris The Police) dan mendapatkan tandatangan di gitarnya.
"Gitar berserta tandatangan Andy saya jual di sebuah kedai pajak dengan harga beratus ringgit," ketawanya yang bangga dapat menonton konsert The Who dan kemudian terpengaruh dengan bunyi dan stail gitarisnya, Pete Townsend.
"Kenapa saya memilih Kid? Saya melihat dia merupakan gitaris yang hebat. Malah boleh dikatakan sebagai salah seorang gitaris terbaik Asia. Saya terkejut melihat permainan seorang gitaris yang mengingatkan saya kepada gitaris, Vivian Campbell," ujarnya yang datang menyaksikan persembahan Kid di Konsert G4 yang diadakan di Live Centre, Kuala Lumpur.
Untuk Kid ini adalah sebuah penghormatan apabila seorang penggemar dan pengumpul gitar sanggup datang dari jauh bertemunya. Lebih daripada itu, pihak Tommy Guitars sedang merangka beberapa perancangan besar buat Kid.
"Saya bersyukur dengan kesempatan ini. Malah dapat bertemu Encik Kennihata adalah sebuah penghormatan besar. Dia sanggup datang dari Jepun dan menyerahkan dua buah Kramer kepada saya. Sudah pasti ini menaikkan semangat saya," ujarnya penuh kesyukuran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: