Sunday, October 7, 2012

Teha enggan kontroversi


TEHA muncul dalam sitkom Rumah Tinggu Jiran Bertingkat dan filem LBS 3.


SEBOLEH-BOLEHNYA Salamon atau Nor Rateha Saonah Salamon mahu pantas melakar nama dalam bidang seni.
Tempoh enam tahun mengabdikan diri dalam bidang seni bukanlah suatu jangka masa yang singkat. Apatah lagi rezeki masih belum memihak kepadanya.
Oleh sebab itu, gadis yang mesra disapa Teha itu pernah terfikir untuk mengangkat bendera putih. Belum sempat mengubah haluan hati, dia yang berusia 26 tahun bagaimanapun mendapat harapan baharu.
Teha ditawarkan menjadi pengacara. Terlibat sebagai hos di sisi Nazaruddin Habibur Rahman dan Chin Yin Yee dalam rancangan gameshow Akua Ekstrem setiap sabtu pukul 6 petang di TV2, program itu memberi petunjuk bahawa langkahnya selama ini tidak sia-sia.
"Saya hampir mengalah kerana dalam tempoh itu tidak banyak tawaran yang saya terima.
"Sehinggalah saya ditawarkan untuk menjadi pengacara dalam rancangan Akua Ekstrem.
"Tawaran itu juga bukan calang-calang kerana saya sudah terlibat dalam banyak episod sehinggalah ke musim ketiga yang sedang dalam penggambaran," tutur Teha yang selama ini hanya ditawarkan watak pembantu dalam beberapa buah drama.
Kata Teha, kesukaran menempa nama bukan alasan untuknya memilih jalan pintas menjadi terkenal.
Dia sedaya upaya mahu menangkis dirinya daripada terpalit dengan kisah sensasi.
Biarpun mengakui bahawa kontroversi murahan sangat membantu wajah baharu sepertinya untuk lekas melekap di hati peminat, Teha tetap dengan pendiriannya apatah lagi terkenangkan nasihat daripada orang tua.
"Saya akui memang susah untuk seseorang itu dikenali kalau tiada kontroversi, tetapi saya tidak mahu mengunakan cara itu untuk lebih cepat dikenali.
"Bukan tidak mahu terkenal, tetapi saya tidak mahu ambil risiko untuk terheret dengan masalah lain pula.
"Saya tidak sanggup berhadapan dengan masalah sebegitu kerana keluarga sering menasihati untuk menjaga diri," kata pemegang diploma dalam bidang perakaunan itu.
Tetap mempersiapkan diri terhadap sebarang kemungkinan seandainya terjerumus dalam sebarang kontroversi, kata Teha, persediaan sebegitu penting bagi seseorang artis.
Biarpun Teha kini lebih menyerlah dalam bidang pengacaraan, namun impiannya tetap mahu berjaya dalam dunia lakonan.
Anak kelima daripada enam beradik itu juga terlibat dalam sitkom Rumah Tinggi Jiran Bertingkat dan drama Antara Laut China Selatan di saluran RTM serta filem Legenda Budak Setan 3 (LBS3).
Dari tutur katanya, nyata pemilik tubuh kecil molek itu seorang yang peramah. Ada sahaja yang mahu diceritakan Teha daripada pengalamannya mendapat restu daripada keluarga untuk bergelar artis sehinggalah usahanya mahu menambah berat badan.
Jelas Teha, dia sebenarnya menghadapi kesukaran untuk membeli pakaian yang bersesuaian kerana sukar mencari saiz.
"Ramai orang cakap bahawa bentuk badan saya sudah okey, tetapi saya masih berasa terlalu kurus. Saya sekarang tengah berusaha untuk menambah berat badan.
"Kalau boleh nak tambah 5 kilogram (kg) lagi agar saya mudah mencari baju-baju yang mengikut trend kerana kebanyakannya nampak janggal di tubuh saya," katanya yang memiliki berat badan 40kg.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: