Sunday, October 7, 2012

Hanez Suraya mangsa keadaan




SENSASI kisah cinta tidak terlepas dalam kehidupan artis. Sekukuh mana pun impak karier seni yang ditinggalkan, selain lakonan memukau mahupun nyanyian berhantu, sisi peribadi mereka tetap mengundang tarikan.
Si putih gebu, Hanez Suraya yang sedang intim berkasih dengan penyanyi popular Awi Rafael muncul antara dramatis tidak boleh terpisah daripada sensasi itu. Sejak Mei lalu, muncul sahaja wajah Hanez mahupun Awi, sisi cinta sudah menjadi bahan pelaris.
Hanez bagaimanapun tersedar. Terlalu banyak persoalan cinta mampu memualkan peminat. Namun untuk menutup apa yang terbuka bukan lagi perkara yang mudah. Langkah yang boleh diambil ialah mengehadkan keterbukaan yang selama ini dikongsikan secara izin.
“Kalau terlalu banyak cerita cinta, peminat akan muak dan bosan, saya tidak mahu kisah cinta melebihi hasil kerja,” ujarnya dalam waktu yang sama mengakui menerima kunjungan keluarga Awi pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
Biarpun kunjungan itu sebagai tanda perkenalan dan restu kedua-dua pihak atas perhubungan serius mereka berdua, Hanez menjelaskan belum ada perancangan untuk mereka menyatukan ikatan dalam masa yang terdekat.
“Saya serahkan hal itu kepada Awi. Tak manis untuk seorang wanita membuka mulut terlebih dulu. Sekarang ini, kami hanya mahu menstabilkan ekonomi dan bekerja keras untuk mencapai sasaran,” ujarnya ketika ditemui di majlis koleksi terbaru pakaian jenama Cosry, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Hanez, secara perlahan-lahan dia mahu mengehadkan ruang pendedahan kisah peribadi. Seboleh-bolehnya, wanita yang hampir setahun dimiliki jejaka kelahiran Singapura itu tidak mahu api cintanya memadam kisah kerjaya.
Bakal muncul dengan drama bersiri Dalam Hati Ada Taman di Astro Ria 29 Oktober nanti, Hanez kini kembali mengisi waktu perdana menerusi drama Dendam Pencinta terbitan MIG Production. Selain Hanez, drama yang ke udara di slot Ratu TV9 setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam itu turut dilakonkan oleh Nadia Aqilah, Shah Iskandar dan Razali Husin.
“Sekarang saya sangat bersyukur sebab tawaran semakin banyak dan saya ada pilihan untuk bekerja. Untuk drama Dendam Pencinta ini, saya pegang watak Mimi, seorang isteri yang menjadi mangsa keadaan akibat dosa silam suami sendiri. Mulanya Mimi tidak tahu apa-apa tetapi secara diam-diam, diseksa secara emosi, hubungannya dengan Zul (Shah Iskandar) juga berdepan cabaran hebat.
“Saya banyak bermain emosi kerana watak itu sendiri tertekan dengan serangan psikologi oleh Syiela lakonan Nadia Aqilah,” cerita Hanez, 28, yang sudah berlakon sejak berusia 18 tahun itu.
Mengamati draf kariernya, Hanez menyifatkan percaturan menerima karakter baik atau jahat boleh memberi kesan kepada penerimaan peminat.
“Saya pula pelakon yang mudah berurusan. Konsep saya mudah, siapa cepat dia dapat. Selama ini saya banyak bawa watak jahat, tapi bila mula-mula bawa watak dalam drama bersiri panjang seperti Tiga Janji dahulu, penonton sedikit keliru. Tapi bila sudah biasa pula bawa watak baik, impaknya lain pula.
“Sepatutnya untuk drama Dendam Pencinta ini, saya ditawarkan watak pendendam yang kini dilakonkan oleh Nadia Aqilah. Kemudian, stesen televisyen mahu saya lakonkan watak baik, saya terima kerana menghormati pandangan pihak atasan yang lebih arif,” katanya menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: