Sunday, October 7, 2012

Tempoh sukar AIM19


BARISAN karyawan dan pemuzik tempatan yang bakal beraksi di pentas AIM19 pada 17 November nanti.


ANUGERAH Industri Muzik Ke-19 (AIM19) dilihat masih berdepan kesukaran untuk memadamkan skeptikal kesilapan insiden salah kira yang sungguh memalukan pada penganjuran tahun lepas.
Berusaha melakukan banyak perubahan, paling ketara menerusi pemilihan hanya juri profesional yang berhak menghakimi karya yang dicalonkan, AIM19 juga melantik KPMG sebagai juruaudit baharu menggantikan juruaudit sebelum ini, Ernst & Young.
Rabu lalu, AIM19 kembali menarik perhatian sebaik sahaja mengumumkan senarai lima teratas pencalonan setiap kategori yang dipertandingkan.
Paling membikin kejutan apabila AIM19 menyaksikan dominasi Noraniza Idris dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi lagu Endang Endong Cintaku Satu, Hari Demi Hari, Kuasa Cinta, Mahligai dan Menarik Hati.
Kategori itu terus dibenarkan bernafas dalam AIM19 kerana konsep AIM sendiri yang mengangkat komposer, bukannya penyanyi.
Kesemua lagu itu dihasilkan oleh komposer berlainan walaupun kelima-lima lirik ditulis oleh penulis lirik yang sama iaitu Ahmad Fedtri Yahya.
Timbul persoalan mengapa perkara ini boleh berlaku dan mengapa pihak Industri Rakaman Malaysia (RIM) tidak menggugurkan sahaja kategori ini jika tidak mempunyai lagu yang layak bertanding.
Menjawab persoalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM19, Rosmin Hashim berkata, pihaknya tidak menggugurkan kategori ini memandangkan lagu-lagu yang dicalonkan itu bukan digubah oleh seorang komposer sahaja. Sebaliknya, ia hasil ciptaan daripada individu berbeza.
"Untuk kategori Pop Etnik, kami hanya menerima lima pencalonan iaitu kelima-lima lagu yang tersenarai sebagai lima calon terakhir itu.
"Memang lagu-lagu itu dinyanyikan oleh Noraniza Idris, tetapi ia digubah oleh komposer berbeza. Adalah tidak adil jika kategori ini digugurkan kerana ada lima orang komposer yang layak diberi pengiktirafan," ujar Rosmin.
Mengulas lanjut tentang sistem penjurian yang diguna pakai kali ini, Rosmin memberitahu, tahun ini penghakiman dibuat oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam industri muzik tempatan sahaja seperti komposer, penulis lirik, pengarah muzik, penyanyi, penerbit album, pereka kulit album, pengarah muzik video dan jurutera muzik.
Tambahnya, tidak mungkin berlaku penjurian berat sebelah kerana pihaknya telah memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dilantik menjadi juri.
Seramai 57 orang juri yang diketuai oleh Adnan Abu Hassan bertindak sebagai penilai karya AIM19.
"Mereka tidak boleh memberikan markah secara berat sebelah. Ini kerana juruaudit akan membandingkan kesemua markah yang diberikan oleh setiap juri.
"Jika didapati markah yang diberikan seseorang juri itu tidak seimbang, terlalu tinggi atau terlalu rendah berbanding markah daripada juri lain, secara automatik markah yang diberikan juri terbabit digugurkan," ujar Rosmin.
Acara kemuncak bakal berlangsung pada 17 November nanti di Stadium Melawati, Shah Alam, pukul 8.30 malam. Malam AIM19 akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: