Thursday, October 4, 2012

Saya bukan kaki propa! - Emma Maembong

EMMA sangat terkejut apabila dilabelkan sebagai kaki penipu.


CERITA artis tidak datang sesi fotografi atau membatalkan temu janji pada saat-saat akhir sudah biasa terjadi dan senario itu lumrah dalam industri hiburan.
Perkara yang melibatkan kerjasama antara golongan selebriti dan rakan media, terutamanya wartawan adakalanya merenggangkan hubungan kedua-dua belah pihak yang saling memerlukan satu sama lain.
Terkini, kes melibatkan bintang drama Kau Yang Terindah, Emma Maembong yang baru-baru ini dikatakan gagal muncul dalam satu sesi fotografi bersama sebuah akhbar mingguan sehingga menjadi buah mulut.
Emma yang dijadualkan hadir untuk sesi tersebut pada pukul 11 pagi hari Rabu (26 September) lalu bagaimanapun gagal berbuat demikian setelah hampir dua jam wartawan dan jurusolek menanti tanpa sebarang khabar biarpun khidmat pesanan ringkas (SMS).
Menjawab tuduhan kaki propa (suka menipu) yang dilabelkan kepadanya, Emma yang kini sedang mengikuti penggambaran drama bersiri Rindu Rania meluahkan perasaan kecewa kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh Emma jelaskan perkara sebenar yang terjadi pada hari tersebut?
EMMA: Saya demam teruk sehari sebelum sesi fotografi tapi enggan membatalkan temu janji tersebut sehinggalah saya terlewat bangun 30 minit daripada waktu sepatutnya saya berada di sana. Tapi saya terus menghubungi wartawan (akhbar) tersebut untuk menjelaskan perkara sebenar dan ketika dalam perjalanan saya diberitahu tidak perlu lagi hadir ke sesi fotografi itu kerana semua kru sudah pulang.
Tindakan anda selepas kejadian itu? Adakah anda ada menghubungi individu terbabit untuk memohon maaf?
Ya, saya tidak putus-putus menghantar SMS, BBM (Black Berry Messenger) dan menelefon kerana rasa sangat bersalah sehingga menyebabkan mereka mencari pengganti tempat saya. Saya mohon pihaknya menukarkan sesi fotografi ke tarikh lain.
FIGURA jelita ini sedang berusaha mencipta nama dalam persada lakonan tempatan.


Apabila keluar artikel yang menuduh anda kaki propa, apa komen anda dan tindakan selepas membaca artikel tersebut?
Saya tidak marah, cuma sangat terkejut dan sedikit kecewa kerana dakwaan itu menjejaskan reputasi dan prestasi saya sebagai artis baharu. Sampai ada pihak yang pada mulanya mahu menawarkan saya berlakon menghubungi saya dan meragui akan disiplin saya. Saya ada menghubungi wartawan tersebut dan dia sendiri tidak menyangka perkara itu menjadi besar. Kami tiada sebarang masalah. Malah, kami membuat temu janji untuk mengadakan kembali sesi fotografi pada 4 Oktober ini.
Apabila timbul isu berkaitan masalah disiplin artis baharu, pastinya imej akan mudah tercalar. Janji anda kepada pihak yang akan memanggil Emma untuk sesi fotografi atau menawarkan anda berlakon selepas ini?
Sebelum ini pun saya tidak pernah datang lambat kalau ada fotografi dan kalau terlambat pun pasti saya akan memaklumkan terlebih dahulu. Saya minta maaf sekiranya tindakan saya menyebabkan banyak pihak yang marah dan tidak percaya akan kredibiliti saya.
Memandangkan perkara sebegini menjatuhkan reputasi anda sebagai bakat baharu yang sedang mendapat perhatian semasa, ada syarat untuk pihak tersebut atau pihak-pihak lain sebelum mengatur sebarang jadual dengan anda?
Sudah pasti tiada. Saya mohon agar menghormati kerjaya saya dan tidak mengeluarkan cerita-cerita buruk mengenai saya. Saya harap agar perkara tersebut diperbetulkan kerana ramai yang sudah salah faham. Saya juga bukan seorang pendendam dengan sesiapa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: