Friday, October 5, 2012

Piuter abadikan budaya Cina



REKAAN ini amat istimewa kerana berasaskan budaya dan seni dinasti Cina.



DIKENALI sebagai Perbendaharaan Budaya Cina, The National Palace Museum di Taiwan merupakan ‘rumah besar’ yang menempatkan sebanyak 670,000 hasil seni dan artifak Cina.
Koleksi di muzium itu mempunyai sejarah yang panjang iaitu membabitkan 5,000 tahun sejarah China yang pastinya amat bernilai tinggi.
Peminat-peminat sejarah termasuk pengunjung dari dalam dan luar Taiwan amat teruja apabila dapat menatap sendiri keistimewaan koleksi di muzium berkenaan. Ia merupakan salah sebuah muzium terbesar di dunia.
Sebagai contoh, salah satu artifak porselin di muzium tersebut adalah pasu biru Dinasti Qing. Ia diperbuat daripada batu kapur daripada zaman Jingdezhen.
Pasu itu terbahagi kepada dua iaitu bahagian luar dan dalam. Apabila bahagian atas pasu bahagian luar diputar, pasu di bahagian dalam akan turut berpusing membolehkan lukisan ikan emas dan flora boleh dilihat menerusi panel yang terbuka pada permukaan pasu itu.
Justeru, kehebatan artifak itu telah mencetuskan idea kepada Royal Selangor International Sdn. Bhd. (Royal Selangor) untuk bekerjasama dengan pihak muzium berkenaan.
Hasil kerjasama itu, koleksi aksesori rumah dan peribadi yang menampilkan keindahan seni dan budaya Cina telah dilancarkan dikenali sebagai The Imperial Collection.

ROYAL SELANGOR bekerjasama dengan The National Palace Museum di Taiwan bagi menghasilkan koleksi piuter dikenali The Imperial Collection.


Pereka-pereka Royal Selangor memberi nafas baharu berkonsepkan kontemporari terhadap 14 hasil seni dan artifak daripada Dinasti Song hingga ke Dinasti Qing.
Koleksi tersebut terdiri daripada set teko teh, bekas teh, kole, bekas minuman, bingkai gambar, lapik gelas, plak dan juga aksesori peribadi seperti loket dan kafling.
Setiap barangan ditanda dengan logo Royal Selangor dan The National Palace Museum.
“Kami amat berbangga dan gembira kerana dapat bekerjasama dengan The National Palace Museum Taiwan. Koleksi artifak yang besar ini telah menjadi inspirasi kepada pereka-pereka kami untuk mencipta satu koleksi yang kontemporari.
“Kami berharap rekaan ini dapat mencetus minat orang ramai di seluruh dunia terhadap seni dan budaya Cina,” kata Pengarah Eksekutif Royal Selangor, Yong Yoon Li.
Diasaskan pada tahun 1885, Royal Selangor terkenal dengan hasil pertukangan yang halus dan rekaan piuter yang inovatif.
Sebelum ini, syarikat berkenaan pernah bekerjasama dengan Victoria and Albert Museum of London dan pereka bertaraf antarabangsa seperti Eric Magnussen, Nick Munro dan Freeman Lau.
Royal Selangor juga merupakan syarikat yang pertama bekerjasama dengan The National Palace Museum di Asia Tenggara dalam menghasilkan koleksi produk seumpama itu.

PEREKA-PEREKA Royal Selangor memberi nafas baharu terhadap artifak Cina dengan berkonsepkan kontemporari.


Pengarah Eksekutif Pemasaran Royal Selangor, Chen Tien Yue berkata, beberapa koleksi yang dihasilkan adalah berasaskan budaya Cina dan harganya bermula dari RM150 dan ke atas.
“Rekaan koleksi ini sangat istimewa kerana memuatkan elemen kebudayaan Cina, tetapi berimej moden. Kita yakin minat orang ramai terhadap koleksi ini sentiasa ada. Kita juga merancang untuk memasarkan di negara lain seperti Australia,” katanya.
The Imperial Collection boleh didapati sejak 28 September lalu di kedai-kedai Royal Selangor, pengedar yang berdaftar dan juga di laman web, royalselangor.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: