|
PERJALANAN karier seni Beto Kusyairy secara serius hampir genap 10 tahun. Karier awalnya cuma sebagai kru di belakang tabir beberapa produksi ketika sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Namun, iltizam untuk cuba meningkatkan rasa yakin diri daripada sifat semula jadi pemalu membuat Beto mengorak langkah mencuba bidang lakonan.
Kata Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, bidang lakonan membantu dirinya menjalani transformasi lebih yakin dan mengikis rasa kurang senang apabila bersua dengan orang ramai.
"Saya akui, sebenarnya saya seorang yang pemalu. Apabila ditawarkan peluang berlakon saya menerimanya sebagai satu bentuk terapi sekali gus menghilangkan rasa malu.
"Pada masa yang sama keghairahan dan minat berlakon menyuntik semangat ekstra untuk memperbaiki kelemahan percakapan umum saya menjadi lebih baik. Tambahan apabila diberi watak berkarakter, terus rasa malu itu hilang," petah dia berkongsi cerita.
Falsafah hidupnya sebagai anak seni dihurai dengan lebih mendalam, menjurus ke arah populariti yang sepatutnya diperoleh setanding dengan kualiti lakonannya.
Tidak dinafikan walau apa watak diberikan kepada Beto, pengolahan dan jiwa yang disuntik ke dalam karakter menjadikan bintang dramatis itu lebih berkilau.
Namun, hal yang sendiri diakuinya, populariti tidak datang seiring dengan kualiti yang dipersembahkan. Katanya berseloroh: "Barang kali muka saya terlalu Melayu, orang kurang perhati."
|
|
Nilai komersial
Memecah derai tawa, tambah Beto, 32, faktor seseorang pelakon menjadi lebih glamor bukan hanya tertumpu kepada paras rupa, malah juga publisiti yang diberikan.
"Oleh kerana sifat saya yang pemalu, mungkin saya juga kurang publisiti. Lantas peminat pun kurang kenal saya berbanding aktor lain. Mungkin juga saya tidak mendapat naskhah lakonan yang baik dan watak yang betul-betul sesuai dengan saya. Sejujurnya, saya masih menantikan tawaran yang betul-betul mencabar saya.
"Saya tidak boleh menolak bahawa dunia lakonan satu bisnes, rupa paras penting untuk menambah nilai komersial sesuatu karya," katanya yang ditemui ketika penggambaran filem Balun di Taiping, Perak baru-baru ini.
Lulusan Diploma Perhotelan UiTM Shah Alam itu juga mengakui dia kurang berinteraksi dengan peminat di laman sosial Facebook dan Twitter kerana enggan dilihat berat sebelah.
"Jadi, biasanya kalau saya balas komen di Facebook atau Twitter saya balas sekali harung untuk semua peminat. Lebih baik daripada balas satu persatu nanti ada pula yang terasa hati," tambah bintang drama rantaian Juvana itu.
Tegasnya juga, tidak dinafikan setiap anak seni memerlukan populariti, tapi bukan itu yang dia pegang. Ini kerana menurutnya, dia tidak terfikir dan tidak mahu fikir untuk menjadi popular.
|
"Sebaliknya, saya selesa dengan kehidupan saya sekarang dan masih rasa seperti orang biasa," ujarnya.
Skala puas
Ditanya mengenai skala kepuasannya berlakon dalam industri tempatan pada ketika ini, jawab Beto dia menyifatkan dirinya seorang yang tidak pernah puas!
"Apabila tiba satu tahap, saya mahu menjadi yang lebih baik dan setiap kali diberikan naskhah baharu, saya mendaki satu anak tangga untuk memberi yang lebih baik daripada sebelumnya.
"Semestinya setiap watak akan ada Beto yang berlainan kerana sebagai pelakon pelajaran paling bernilai adalah pengalaman dan karakter yang diberi. Tiada istilah puas dalam hidup saya," tegasnya.
Sering diberikan watak dalam genre romantik dan aksi, ujar Beto dia tidak memandang tanggungjawab itu sebagai halangan untuk berkembang.
"Saya seorang pemain watak dan perlu biasakan diri dengan pelbagai watak yang ada. Saya tak akan ke mana kalau meletakkan had memilih genre tertentu saja. Seboleh-bolehnya dunia lakonan ini peluang untuk saya meneroka dan berkembang," jelasnya.
minatnyew kt abg betow~~
ReplyDelete