Monday, October 22, 2012

Rosmaliza makan bola, tidur bola

ROSMALIZA bersama sebahagian daripada koleksi barangan berbentuk bola sepak miliknya.
TIDAK dinafikan wanita ini fanatik dengan bola sepak. Apa saja cerita mengenai sukan tersebut, pasti dia tahu mengenainya. Mula serius mengikuti perkembangan bola sepak terutamanya liga tempatan sejak berusia 15 tahun, Rosmaliza Abdul Majid, 42, agak arif dengan permainan tersebut.
Tidak cukup dengan itu, kegilaan bola sepak Rosmaliza bersambung dengan hobinya mengumpul apa saja yang berbentuk bola sepak daripada koleh air hingga ke puting bayi!
Malah sehinggakan bilik tidur dua orang puteranya turut dihias bertemakan bola sepak dengan kepala almari, tombol almari dan lampu siling ditempah khas bentuk bola berwarna hitam putih.
“Saya mula minat menonton perlawanan bola pada 1985 dan ketika itu saya turut membeli replika bola sepak kecil sebagai hiasan di rumah.
“Sejak itu, pantang ternampak barang berupa bola sepak, saya pasti membelinya dan kini barangan yang kecil saja sudah sebanyak dua beg baju yang besar.
“Ahli keluarga dan rakan-rakan rapat yang mengetahui hobi pelik saya ini turut membantu menyumbang kepada koleksi saya," ceritanya yang juga penyokong pasukan Manchester United.
Ujar Rosmaliza, kebanyakan koleksinya disimpan rapi di dalam bekas khas malah anak-anaknya turut tidak dibenarkan menyentuhnya bahkan ini pertama kali mereka melihat koleksi ibunya ketika sesi pengambaran bersama Mingguan Malaysia.
Antara koleksi bola sepak yang dimilikinya radio, botol minyak wangi, lampu tidur, pelekat peti ais bermagnet, pinggan mangkuk dan selimut.
Ceritanya, paling sukar diperolehi penyepit baju yang dihiasi corak bola sepak kerana kali kedua dia ke kedai yang sama, barangan tersebut sudah tidak dijual lagi.
Hobinya itu disokong kuat oleh suami tercinta, Hasnizam Uzir yang juga bekas pemain bola sepak Malaysia sekitar 1990-an.
“Namun, cinta pada bola sepak timbul lama sebelum saya berkenalan dengan suami malah di awal perkenalan saya tidak tahu yang dia seorang pemain bola profesional," ujarnya yang pastinya menjadikan suaminya sebagai pemain bola sepak kegemarannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: