Monday, October 1, 2012
Kotaj Inggeris sentuhan Norliza
SIAPA sangka dengan hanya merujuk video tutorial di internet, seorang kakitangan di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang kini mahir menghasilkan barangan dekoratif berkonsepkan kotaj Inggeris (English cottage).
Lebih mengagumkan, Norliza Md. Zain, 42, yang juga pemilik blog Jija's Lovely Cottage kini mampu menjana pendapatan sampingan sekitar RM3,000 sebulan melalui hasil jualan barangan tersebut menerusi perniagaan atas talian.
Menurutnya, minat terhadap rekaan barangan hiasan kotaj Inggeris itu bermula selepas beberapa kali melihatnya di internet lalu terdetik di hatinya untuk mencuba sendiri.
"Saya mula mempelajarinya melalui video tutorial di YouTube.
"Kemudian, hasil rekaan sendiri itu saya muat naik dalam blog. Tidak sangka ia berjaya menarik minat penggemar barangan kotaj Inggeris dan mula bertanya untuk membuat tempahan.
"Apabila sudah ada tempahan, saya tanpa ragu-ragu cuba menyiapkannya untuk pelanggan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pauh Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.
Katanya, sejak tahun 2009 sambutan terhadap hasil rekaannya semakin hangat dan turut menerima tempahan dari Sabah, Sarawak dan Singapura.
"Barangan yang sering mendapat tempahan adalah seperti hiasan di dapur, bekas tisu, bekas biskut dan sangkar telur.
"Harga kesemua barangan tersebut bergantung kepada saiz bermula dari harga RM40 hingga RM200 dan semua tempahan dikirim kepada pelanggan secara pos.
"Ada juga pelanggan yang tinggal di Pulau Pinang atau Kedah datang ke rumah mengambilnya sendiri dan dari situ hubungan antara pelanggan bertukar menjadi erat pula sebagai rakan," ujarnya.
Rekaan motif bunga
Ditanya dari mana beliau mendapat idea untuk menata hias lukisan pada barang-barang tersebut, Norliza memberitahu, ia berdasarkan kepada kehendak pelanggan yang kemudian dilakar di atas kertas.
"Biasanya saya akan mengikut cita rasa pelanggan, tetapi agak sukar tidaklah secara total. Ini kerana, kadang-kadang pemilihan warna dan lakaran hiasan yang dibuat mungkin tidak sepenuhnya mengikut kehendak mereka," jelasnya.
Selain itu, bagi menjaga kualiti setiap hasil karyanya, dia amat mengambil berat soal pemilihan serta penggunaan bahan seperti cat.
Jelasnya, dia menggunakan cat warna yang dibeli dari United Kingdom kerana lebih pekat dan tahan lama.
"Semasa menghias barangan pelanggan, saya akan menganggap barangan tersebut seperti barangan saya sendiri walaupun pelanggan membayar kerja tangan itu.
"Jadi, saya akan berusaha untuk memberikan sentuhan terbaik supaya barang yang ditempah pelanggan menarik dan memuaskan hati," katanya.
Norliza menambah, barangan kotaj Inggeris yang dihasilkannya mendapat sambutan ramai kerana mempunyai kelainan berbanding pengusaha lain.
"Di Jija's Lovely Cottage, saya sentiasa menampilkan rekaan terkini serta penggunaan motif bunga dan konsep belang.
"Saya juga gemar menggunakan warna pastel yang lebih lembut dan sesuai untuk diletakkan di setiap sudut kediaman," tambahnya.
Selain itu, Norliza turut menganjurkan bengkel untuk wanita yang ingin mempelajari seni kotaj Inggeris.
Mereka yang ingin membuat tempahan atau berminat untuk mempelajari teknik kotaj Inggeris boleh melayari blog http://jija-craft.blogspot.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: