|
RUMAH untuk gorila pergunungan yang terkenal di taman negara tertua Afrika, Demokratik Republik Congo (Congo) kini berhadapan dengan penaklukan kumpulan bersenjata.
Peperangan bukan sahaja menyebabkan banyak hidupan liar terbunuh, bahkan turut menakutkan para pelancong.
Pengarah Taman Belgium yang berasal dari Congo dan kini berada di taman negara berkenaan, Emmanuel de Merode mengakui, ia adalah waktu genting bagi renjer di Taman Negara Virunga.
Pada bulan lalu, Merode dan renjer taman itu telah dipaksa untuk menghabiskan sepanjang hari berlindung di bilik bawah tanah apabila tentera dan pemberontak saling menyerang di kawasan berdekatan dengan tempat lawatan mereka.
“Pemberontak dan anggota tentera memberitahu bahawa kami bukan sebahagian daripada konflik mereka lantas menghalau kami dari situ. Persoalannya bagaimana dengan nasib haiwan di sana?” soal Merode, 42, seorang lelaki Afrika berkulit putih.
Dia juga menambah, rumah tetamu untuk pelancong di taman tersebut kini menjadi sebuah bangunan kosong disebabkan pertempuran yang berlaku.
Habitat gorila gunung
Berpusat di sepanjang Congo, Rwanda dan Uganda, kawasan pemuliharaan gunung berapi Virunga juga adalah rumah kepada lebih 480 daripada 790 gorila pergunungan yang masih tinggal di dunia.
Gorila inilah yang pernah dipopularkan oleh zoologi Amerika Syarikat, Dian Fossey yang mati dibunuh pada tahun 1985.
Tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berpuluh-puluh haiwan berkenaan telah dibunuh oleh kumpulan bersenjata termasuk tentera Congo terutamanya akibat peluru sesat.
Menurut kenyataan sekumpulan aktivis alam sekitar, kepupusan gorila di taman tersebut bertambah genting apabila pemburuan haram juga tambah berleluasa.
|
|
“Mereka hanya mengambil masa beberapa bulan untuk membunuh segala-galanya, sedangkan kita memerlukan 40 tahun untuk membina kembali sebuah habitat selesa untuk gorila,” kata Merode.
Badak air, cimpanzi, gajah, antelop, burung dan singa juga turut menjadi mangsa sejak pertempuran tercetus.
Dibuka pada tahun 1925, Taman Negara Virunga adalah rumah kepada Lake Edward, yang mana pada tahun 1980 adalah lokasi perlindungan badak air paling utama di dunia dengan mempunyai 27,000 badak air. Kini terdapat kurang daripada 300 badak sahaja mengikut pengiraan Merode.
Virunga hilang pelancong
Pada bulan Julai, semasa pertempuran sedikit kendur para renjer mencari enam keluarga gorila gunung yang terancam. Keluarga gorila gunung itu tidak pernah dilihat sejak pertempuran meletus pada bulan April antara tentera kerajaan dan militan M-23 diketuai oleh ketua pemberontak.
Dalam usaha untuk memulakan pencarian terhadap haiwan primat yang hilang itu, Merode terpaksa mendapatkan persetujuan daripada tentera dan pemberontak M23.
Lebih separuh daripada gorila gunung yang dikhuatiri hilang ditemui kembali dan dua kelahiran telah direkodkan. Ia satu berita gembira buat renjer-renjer taman berkenaan di sebalik kebimbangan baki gorila yang tidak ditemui berkemungkinan mati.
Pertempuran tersebut telah menghapuskan industri pelancongan di kawasan tersebut. Bagi memastikan taman itu terus beroperasi, satu sumber derma terpaksa diusahakan demi memastikan renjer yang bekerja terus bergaji.
“Pada waktu-waktu terbaik sekalipun, adakalanya pendapatan yang diperoleh sukar untuk membayar semua gaji pekerja.
“Tetapi selepas ketiadaan ekonomi pelancongan disebabkan oleh pertempuran, ia telah menjadi hampir mustahil,” tulis Merode dalam blognya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: