Sunday, October 7, 2012

Saya sebuah jenama - Nazim Othman



MEMACU pengaruh dan sudah mampu membikin hati peminat cair, Nazim Othman memang layak digelar hero televisyen.
Membina nama sejak awal tahun 2011, kedatangan pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman ke bidang lakonan sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2008.
Ketaranya, pelakon kelahiran Skudai, Johor itu memanggil pesona menerusi drama-drama rantaian popular yang berjaya menjana saham di hati penonton.
Mengintai sari kepada perdu pendirian yang mendedikasikan dirinya tampil yakin sebagai sang aktor, Nazim mengambil satu falsafah sebagai kunci peribadinya.
"Saya juga penulis, saya tulis matlamat hidup saya. Apa yang sedang saya capai tahun ini adalah apa yang telah saya tulis tahun lepas.
"Saya catatkan setiap kemahuan saya di atas kertas dan berusaha sehabis baik untuk memenuhi kemahuan itu.
"Alhamdulillah, sebahagian yang dilihat pihak luar terhadap diri saya hari ini, sebahagiannya telah menepati apa yang saya cita-citakan," duta jenama jam tangan antarabangsa, Ellesse itu menyusun patah kata.
Sesuatu yang menarik terluah daripada ulas senyumnya, kata Nazim, percaturannya memasuki bidang popular bukan hanya mahu dibayar upah atas kerja lakonan yang dibuat.
"Saya letakkan diri saya bukan hanya sebagai pelakon tetapi sebagai ahli perniagaan. Saya berniaga bakat dan imej yang saya bawa kerana saya juga sebuah jenama. Sebab itulah saya kena tertib dan menjaga gaya. Saya tidak boleh tampil selekeh.
"Bila-bila masa juga orang boleh merakamkan gambar saya dan menyebarkan kepada umum. Dibuatnya gambar itu diambil dalam keadaan tidak sepatutnya, sekelip mata sahaja apa yang saya bina boleh musnah," ujarnya yang tidak akan sesekali memakai selipar atau berseluar bermuda walaupun untuk keluar bersantai.
"Lainlah kalau saya pergi mandi laut atau bercuti di pulau. Lagipun tak salah untuk jadi seorang bergaya. Kawan-kawan pun gelarkan saya 'mat smart'. Saya okey sebab untuk berjaya pun seseorang itu harus tampil smart," meletus ketawanya di situ.
Acuan pelakon Korea
Memasuki topik lakon, bekas pramugara yang mencuri perhatian dengan karakter Bazli dalam Dejavu Di Kinabalu serta Shamiel (Kau Yang Terindah) itu diminta memberikan sedikit prakata. Kerja lakonannya boleh dipuji dan penghayatan yang diberi sedikit sebanyak melonjakkan nama Nazim sendiri.
Sedar bahawa setiap individu pasti ada rujukan kerja, wajah yang dilihat semakin mendapat kepercayaan pengarah wanita, Erma Fatima itu ditebak tentang corak
"Sebenarnya, sehebat mana pun metod lakonan oleh pelakon-pelakon besar di luar sana, pokok pangkalnya terpulang kepada kejujuran dan penerimaan penonton. Membawa dan memberi emosi yang tepat.
"Saya pula peminat cerita Korea, nampak sahaja drama seram atau filem Korea yang menarik, saya akan cari versi cakera video digital (DVD) berkenaan untuk ditonton berulang-ulang di rumah.

PESONA Nazim semakin menyerlah di televisyen.


"Saya suka stail lakonan mereka yang subtle (licik), halus tetapi tidak keterlaluan. Lakonan mereka seperti tiada perasaan tapi saya dapat rasa impak itu dalam kerja saya.
"Saya juga sanggup keluar belanja sendiri untuk beri gaya kepada karakter saya. Saya beli enam pasang sut untuk drama Dejavu Di Kinabalu.
Mahu dihargai
"Kiranya drama itu eksperimen saya untuk jadi pelakon yang subtle. Ada sebab saya buat begitu. Saya tahu nama saya tidak sekuat Aqasha, Tiz Zaqyah pula sangat hebat.
"Jadi, saya kena pastikan kewujudan saya dirasai," katanya yang bakal menjadi sandaran Erma Fatima untuk beberapa naskhah akan datang.
Tidak termasuk teater Tun Dr. Siti Hasmah yang sudah memulakan rejim latihan minggu lalu, Nazim bakal muncul dalam telemovie Tersalah Cinta dan Bayang Rindu serta sekali lagi sudah diikat untuk drama episod Bukan Untukmu siaran TV9. Semuanya bawah tangan Erma Fatima sebagai pengarah.
"Saya rasa dia (Erma) sedang baca karakter saya. Tak tahulah, tapi tiada apa-apa istilah, rasanya memang begitu cara dia bekerja," ulasnya saat diusik sebagai anak emas pengarah berkenaan.
Dalam fasa mengukuhkan pengaruhnya juga, Nazim mengakui semakin mencapai rentak selesa di layar kaca. Di sebalik perasaan itu, ada kebimbangan bersarang di hati.
Dia dipaksa melompat ke satu dimensi yang selama ini tidak pernah dilalui sejak bergelumang dengan lakonan.
Letak tepi soal tidak pernah berlakon filem kerana bagi Nazim, interpretasi karya seni itu belum sedia untuk dilangkahinya. Fokusnya kepada teater dan lebih hebat lagi, watak yang dilakonkannya itu bukanlah satu watak sembarangan.
"Walaupun saya hanya bawa wataknya ketika muda, tetap itu watak Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau bekas Perdana Menteri Malaysia dan beliau masih hidup. Saya tidak mahu dimalukan dengan lakonan sendiri dan saya tidak mahu bekas pemimpin yang disayangi negara itu berasa malu dengan lakonan saya.
Menyerah kalah
"Saya terbiasa bermain dalam ruang yang kecil. Jadi, semasa mula-mula berlatih, saya masuk dengan rasa sangsi. Saya sudah goyang dan takut bahkan pernah angkat tangan menyerah kalah kerana saya tak mampu nak teruskan.
"Teater bagaimanapun berikan kekaguman kepada saya. Saya semakin menghormati pelakon-pelakon teater dan sekarang saya sedang ambil peluang itu," katanya yang buat kali pertama bakal muncul sebagai pelakon teater di Istana Budaya, November nanti.
Mengalir tanpa dirancang, ungkapan law of attraction yang boleh didefinisikan sebagai hukum tarikan menyelinap tanpa sedar.
Ia menjadi topik menterjemahkan daya intelek yang membentuk personaliti Nazim ketika ini.
"Saya tertarik dengan novel The Secret, ia bercerita tentang law of attraction. Mula-mula saya tengok versi DVD kemudian saya beli pula versi novel.
"Sekarang baru saya faham apa yang diperkatakan oleh buku itu. Ia tentang pemikiran positif. Percaya kepada kata hati tapi dalam waktu sama, kata hati itu harus berada di jalan yang betul," kekasih dramatis pelakon Bella Dally itu memberi petunjuk tentang cara pemikirannya.
Hasil daripada hipotesis yang dilakukan, dia percaya dalam kehidupan ini, manusia dipengaruhi oleh aura.
"Setiap perkara yang kita rasa, negatif atau positif, ia akan berbalik semula kepada diri kita. Sebab itulah saya semakin berhati-hati dengan apa yang saya rasa. Saya kena kawal diri, kawal rasa.

MINAT kerja pelakon Korea, Nazim ambil inisiatif untuk membawa karakter lakonan secara subtle iaitu natural, halus serta tidak keterlaluan.


"Ia termasuklah dari semua segi. Saya cuba kawal perkara berkenaan saya, kerja, duit, penampilan, pakaian serta publisiti.
"Saya juga semakin terbuka dengan apa jua kritikan, kerana bagi saya hidup ini pendek. Saya mahu bahagia menjadi diri saya sekarang," katanya panjang lebar.
Berhenti sebelum terlebih, Nazim membayangkan satu kejutan yang bakal berlaku dalam hidupnya. Ia sebagai lanjutan kepada pengukuhan jenamanya yang bakal dilancarkan tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: