Saturday, October 6, 2012

Gah pameran automotif Indonesia



TIRAI Indonesia International Motor Show (IIMS) 2012 dilabuhkan pada petang Ahad lalu. Bertempat di Jakarta International Expo Kemayoran di Jakarta, kawasan yang pernah dikerumuni hampir 350,000 pengunjung kembali sunyi selepas 11 hari penganjurannya.
Pameran kali ke-20 yang bermula 20 September lalu merupakan pameran automotif terbesar pernah diadakan di Indonesia.
Tapak seluas 71,331 meter persegi menjadi lokasi persinggahan 35 jenama bertaraf global. Jika diambil kira penyertaan pemain industri sokongan dan aksesori, jumlah tapak pameran mencecah 310 buah.
Antara jenama pengeluar kenderaan yang membuat penampilan ialah Audi, BMW, Chevrolet, Chrysler, Daihatsu, Dyna, Dodge, FAW, Ford, Fuso dan Geely.
Turut mengambil bahagian ialah Hino, Honda, Hyundai, Isuzu, Infiniti, Jeep, Kia, Mazda, Mercedes-Benz, MINI, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Suzuki, Tata, Toyota, Volkswagen dan VD Trucks.
Mendokong tema Eco-mobility untuk tahun ini, IIMS 2012 menjunjung misi untuk memberitahu para pengeluar kenderaan agar terus melaksanakan inovasi dan teknologi bagi menghasilkan jentera lebih mesra alam.
Mesej itu merupakan kesinambungan kepada hala tuju industri automotif republik tersebut. Tema dua tahun seIIMS sebelum ini, iaitu Eco-technology motoring (2010) dan Sustainable green technology (2011) sudah jelas mengesahkan sasarannya.
Tema hijau
Media Indonesia mengakui bahawa para peserta IIMS 2012 turut senada dengan tema hijau itu apabila menampilkan barisan produk mesra alam mengisi ruang pameran masing-masing.
Contoh mudah, Daihatsu dengan tema Best Friend in Life mengaplikasi penggunaan air dan daun. Toyota pula mendokong tema mencipta masa hadapan lebih baik untuk generasi akan datang.
BMW di satu sudut lain menyajikan kenderaan yang mengaplikasikan teknologi jimat bahan api dan kadar emisi karbon rendah.
IIMS 2012 ibarat serampang dua mata. Satu platform untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara, selain membantu meletakkan Indonesia sebagai antara pasaran automotif berpotensi di rantau ASEAN.
“Saiz pameran luas dan sokongan daripada para peserta membantu IIMS 2012 menjayakan serta mengekalkan peranannya sebagai pasaran automotif terbesar yang berpotensi di ASEAN.

MODEL Leaf mendiami ruang pameran Nissan.


“Kapasiti pameran kali ini lebih besar berbanding pameran sama yang dianjurkan oleh negara-negara ASEAN lain,” kata Pengerusi Penganjur IIMS 2012, Johnny Darmawan kepada akhbar .
Media dalam talian juga menyiarkan kenyataan Ketua Gabungan Industri Kenderaan Bermotor Indonesia (Gaikindo), Sudirman Maman Rusdi yang menganggarkan nilai transaksi sepanjang IIMS 2012 adalah sebanyak AS$521.3 juta (RM1.591 bilion).
“Sehingga hari Sabtu (lalu), sehari sebelum penutupan, nilai transaksi sudah mencecah paras Rp 4.4 trilion (AS$458.6 juta atau RM1.4 bilion) dan menjangkau sasaran asal kami,” katanya.
Jumlah transaksi itu menunjukkan peningkatan sebanyak 52.91 peratus berbanding pencapaian IIMS 2011. Inilah kehebatan pameran Indonesia. Baru 11 hari, sudah raih setengah bilion AS$!
Tahukah anda, pada Jun lalu, bank pusat Indonesia telah menaikkan bayaran wang pendahuluan minimum kenderaan kepada 25 peratus untuk kenderaan komersial, 30 peratus (kenderaan penumpang) dan 25 peratus bagi motosikal.
Sebelum ini, bayaran muka untuk kenderaan komersial dan berpenumpang hanya 10 peratus dan lima peratus untuk motosikal. Objektifnya adalah untuk mengelakkan berlakunya gelembung kredit dan lonjakan pinjaman dalam kalangan konsumer.
Biarpun begitu, industri automotif negara jiran itu berupaya mengekalkan kekuatan pasaran sehingga mampu mencatat jualan kenderaan dua kali ganda jika dibandingkan dengan Malaysia.
Maman Rusdi dalam laporan Jakarta Globe menyatakan jangkaan jualan tahunan kenderaan di Indonesia bagi 2012 bakal mencecah satu juta unit. Ia akan meningkat kepada 1.05 juta unit pada tahun hadapan.
Toyota Agya & Daihatsu Ayla
Antara pengumuman menarik sepanjang IIMS 2012 ialah kemunculan dua model yang dibangunkan oleh pengedar terbesar di Indonesia iaitu Astra International hasil kerjasama dengan Toyota dan Daihatsu.
Dua model itu dikenali sebagai Toyota Agya dan Daihatsu Ayla. Kereta kompak tersebut disasarkan kepada mereka yang pertama kali hendak membeli kenderaan.
Kedua-dua kereta itu dipasang dengan enjin petrol tiga silinder bersesaran 1,000cc bersama dua pilihan transmisi iaitu manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan. Kuasa yang mampu dijana adalah 65hp @ 6,000rpm dan tork maksimum 87Nm @ 3,600rpm.
Agya dan Ayla yang menggunakan sebanyak 84 peratus komponen tempatan bakal dipasang di kilang baharu Daihatsu di Jawa Barat tidak lama lagi.
Honda CR-Z

RUANG pameran Venom menempatkan sebuah jentera dengan modifikasi ekstrem enam roda.


Honda memilih IIMS sebagai lokasi membuat penampilan global produk naik taraf hibrid CR-Z. Sekilas pandang, jelas menunjukkan bahawa jentera sporty itu menerima beberapa pembaharuan yang signifikan.
Bahagian hadapan sudah dilengkapi gril dan bampar baharu. Solekan turut melibatkan lampu kabus. Tidak cukup dengan itu, Honda mengenakan lampu hadapan HID, manakala kombinasi lampu LED kini mendiami set lampu belakang CR-Z.
Tidak lupa juga pemasangan peresap pada bahagian belakang, rim aloi 17 inci dengan rekaan terkini dan penutup cermin pintu.
Ruang kabin kini dimonopoli dua tona hitam. Paparan lampu pencahayaan belakang pada panel meter pula dihiasi tiga warna iaitu hijau, biru dan merah. Warnanya bergantung kepada jenis mode pemanduan sama ada Normal, Sport atau ECON.
Ada butang sistem penggalak Plus Sport (S+) pada stereng. Jika bateri memiliki kadar cas melebihi 50 peratus, anda boleh mengaktifkan sistem itu dengan menekan butang S+ yang ada pada stereng kereta.
Apabila pedal minyak dipijak, penggalak elektrik akan bermula. Ia meningkatkan pecutan sehingga 10 saat. Tolok di atas papan pemuka akan berkelip apabila sistem itu diaktifkan. S+ boleh digunakan dalam mode pemanduan ECON, Normal atau Sport
Begitulah gahnya IIMS 2012. Pujian harus diberikan kepada penganjur IIMS dan para pesertanya kerana sama-sama berganding bahu untuk mengubah serta membangunkan landskap automotif Indonesia.
Di Malaysia, sudah lebih dua tahun kita sepi tanpa sebarang penganjuran automotif berlabel antarabangsa. Sedangkan banyak jenama global sudah berniaga di Malaysia. Apa cerita?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: