Saturday, October 6, 2012

Berpisah sementara demi ibadah haji


JEMAAH haji dari Selatan Thailand membawa bagasi masing-masing ketika beratur di Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai. - AFP


TARIKH 9 Zulhijjah semakin hampir. Kemuncak musim mengerjakan ibadah haji bagi tahun 1433 Hijrah sudah amat dirasakan oleh para jemaah haji kali ini. Segala gambaran tentang suasana di Mekah dan Madinah sudah bermain dalam fikiran dan dihayati dengan penuh rasa insaf serta tawakal.
Bagi jemaah yang terpilih dari seluruh dunia, sebahagiannya sudah meninggalkan benua masing-masing ke destinasi istimewa tersebut. Ada yang lainnya sedang sibuk membuat persiapan terakhir sementara menunggu giliran berangkat untuk menjadi tetamu Allah.
Haji merupakan perlakuan ibadah bagi umat Islam yang melibatkan beberapa pengisytiharan dalam hati, ditunjukkan melalui perbuatan dan pengucapan. Dilaksanakan mengikut tertib, semua itu merupakan perlambangan pengabdian manusia yang bertaqwa terhadap tuntutan ibadah kepada Allah.
Bagi kumpulan yang terpilih tahun ini, niat ihram haji mereka bakal diteruskan dengan rukun-rukun yang lain iaitu wuquf di Arafah, tawaf, saie, bercukur atau bergunting serta dilakukan semuanya dengan tertib.
Setiap satunya dilakukan dengan rasa tauhid dan penyerahan sepenuhnya semata-mata kerana Allah, termasuklah mempersembahkan diri, pemikiran, fizikal, harta benda dan nawaitunya hanya untuk Yang Maha Esa.

ORANG ramai berhimpit-himpit di pagar lapangan terbang di Narathiwat dengan harapan dapat melihat ahli keluarga mereka yang menaiki pesawat. - AFP


Sama ada di Thailand, India, Pakistan mahupun China serta Eropah, pemergian kumpulan jemaah haji ini pasti dirasai oleh ahli keluarga, saudara-mara dan teman taulan. Pelbagai mod pengangkutan digunakan untuk tiba di pusat perkumpulan jemaah sebelum menaiki penerbangan ke Tanah Suci.
Ahli keluarga dan teman-teman yang ditinggalkan di tempat asal masing-masing tentunya merindui ketiadaan mereka selama tempoh mengerjakan ibadah tersebut.
Begitupun, doa tulus, harapan baik dan jalinan kasih sayang tidak putus dihulur buat mereka. Semoga para jemaah haji keseluruhannya dikurniakan kesihatan, kesabaran dan ketaqwaan agar ibadah tersebut dapat dijalani seterusnya mencapai tingkatan yang mabrur.
Ragam Global kali ini memaparkan kompilasi gambar perjalanan para jemaah haji sedunia yang penuh emosi dan cerita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: