Saturday, October 6, 2012

Wagon ada gaya!


KEMATANGAN penampilan produk Kia memang tidak boleh dinafikan lagi.


HANYA selepas tiga bulan Kia melancarkan cee'd hatchback, famili cee'd disertai oleh varian baharu iaitu cee'd Sportswagon. Menggantikan model cee'd SW, nama yang dipilih itu didakwa menyempurnakan lagi karakternya yang sukakan cabaran, sporty dan moden di samping aplikasi menggunakan teknologi tercanggih dengan lebih ciri-ciri praktikal dan bernilai.
Memetik laporan Newspress, cee’d Sportswagon dipertontonkan kepada umum bersama model hatchback pada Pameran Kenderaan Geneva 2012 yang sepadan dari segi gayaan, kualiti, teknologi, peralatan dan keselamatan.
Seperti model yang digantikannya, cee'd Sportswagon direka bentuk serta dijuruterakan di studio rekaan dan pusat teknikal Kia di Frankfurt, Jerman dengan kilang produksinya di Zilina, Slovakia.
Model asas (entry-level) menggunakan enjin 1.4 CRDi berkuasa 89bhp dengan tork 220Nm bermula dari 1,500rpm. Model 1.6 CRDi pula berkuasa 126bhp dengan tork 260Nm yang bermula seawal 1,900rpm.
Transmisi automatik yang dipadankan mempunyai enam kelajuan, manakala model transmisi manual pula dipasangkan sistem Intelligent Stop & Go (ISG) yang menjimatkan bahan api serta kurang emisi.
Praktikal
cee’d Sportswagon bukan hanya menjual stail, malah praktikal. Dengan ukuran panjang 4.5 meter, model itu lebih kompak jika dibandingkan dengan pesaing Eropah lain dan hanya 15mm lebih panjang berbanding cee'd SW yang digantinya.
Kapasiti ruang bagasi juga lebih besar berbanding majoriti pesaingnya iaitu 528 liter. Lengkap dengan penutup ruang bagasi, kapasiti itu boleh meningkat kepada 1,642 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Setiap varian cee'd Sportswagon mempunyai ruang penyimpanan bawah lantai dan sisi, penutup bagasi, lampu bonet dan soket kuasa 12 volt.
Varian dengan spesifikasi tinggi pula didatangkan dengan rel aluminium, pengikat pada ruang bagasi dan jaring untuk menyimpan barang-barang, selain menghalangnya daripada jatuh ke ruang penumpang.
Rel bumbung adalah ciri standard untuk setiap model bagi membolehkan penyimpanan barang di luar kenderaan. Wagon itu mampu menampung muatan sebanyak 500 kilogram (kg) dan model manual boleh menunda beban sehingga 1,500kg.
Ciri-ciri sporty
Penggunaaan nama sports pada wagon itu diaplikasikan pada reka bentuknya. Bukan sahaja lebih panjang daripada model SW, malah dimensinya juga 10 milimeter (mm) lebih kecil dan 40mm lebih rendah. Pengurangan itu bagaimanapun masih mengekalkan ruang penuh untuk lima orang penumpang.
Pintu belakang berbeza dengan model cee’d hatchback supaya jaluran bahagian bawah tingkap boleh ditarik hingga ke belakang dengan sempurna untuk pencahayaan lebih terang dan penumpang belakang tidak berasa lemas.
Seperti cee’d hatchback, jarak titik roda berukuran 2,650mm tidak berubah. Tetapi lebar trek dibesarkan kepada 17mm di depan dan 27mm di belakang bagi menampakkan kedudukan yang lebih sporty.
Dengan geometri suspensi yang diubah, model itu lebih stabil pada kelajuan tinggi dan jalan berliku. Menariknya, cee’d Sportswagon mempunyai suspensi bebas pada roda hadapan dan belakang yang menyerlahkan lagi ciri-ciri sportynya.
cee’d Sportswagon tampak lebih sporty dan premium berbanding model terdahulu. Faktor utamanya adalah melalui perkadaran (proportions) yang radikal. Rekaannya lebih berat ke depan dengan bumbung seperti kereta coupĂ© yang menampakkannya lebih sporty dan menyerlah.
Logo Kia juga dikemaskan semula agar lebih ringkas, sleek dan moden. Posisinya turut diubah, bukan lagi dilekatkan pada gril tetapi pada bonet yang menurut Kia nampak lebih premium.

RUANG kabin dan papan pemuka menampilkan rekaan moden.


Ketua Pereka Kia, Peter Schreyer berkata: “Kami mahu mengeksploitasi kekuatan pada model generasi pertama yang membuatkannya begitu berjaya. Pada masa yang sama menambah baik ciri-ciri emosi, perkadaran serta ketegapannya.”
Kia nampaknya begitu bersemangat dengan model baharu itu. Jelas mereka, tiada satu pun yang ditinggalkan dalam cabaran bagi memastikan cee’d Sportswagon menawarkan suatu yang ekstra berbanding pesaing Eropah lain.
Semua ciri pada model terdahulu disemak semula. Jika ada benda yang perlu diubah, mereka telah pun melakukannya. Contoh mudah, pembuka penutup minyak yang menurut Kia, pelanggan di Amerika sukakan jenis yang dibuka dari dalam kenderaan.
Untuk pasaran Eropah pula, majoritinya suka jika ia disatukan bersama kunci berpusat (central locking) supaya ia boleh dibuka dengan hanya menekan satu butang. Kenapa pasaran Eropah begitu penting untuk Kia? Ini kerana model cee’d Sportswagon eksklusif untuk pasaran Eropah sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: