Tuesday, May 1, 2012

Aura Upin & Ipin The Musical


UPIN & IPIN THE MUSICAL akan dipentaskan di Istana Budaya sehingga 7 Mei ini.


BUAT pertama kalinya dipaparkan dalam bentuk hidup di pentas Istana Budaya menerusi karya teater muzikal Upin & Ipin The Musical, karakter animasi Upin & Ipin nyata sukses dalam memberikan impaknya yang tersendiri.

Bermula dengan sebuah animasi dalam bentuk tiga dimensi (3D) sehinggalah kemunculan di layar perak, nama dua adik-beradik kembar Upin dan Ipin kini sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.

Bukan sahaja dalam industri hiburan tempatan, malah karakter animasi tersebut turut memberi fenomena kepada negara luar seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan Thailand.

Diterbitkan bersama Les Copaque Sdn. Bhd. dan CTRA Production, Upin & Ipin The Musical bermula dengan kisah Puteri Cinonit yang berasal dari dunia lain yang mana dia tidak pernah menikmati perasaan gembira. Apabila melihat dan bertanya kepada cermin sakti mengenai kegembiraan, Upin & Ipin telah menjadi jawapan kepada persoalan Puteri Cinonit itu.

Mengulas mengenai Upin & Ipin The Musical, tidak dinafikan teater tersebut sememangnya ditujukan khusus buat golongan kanak-kanak yang meminati siri animasi yang cukup terkenal itu. Permulaan cerita yang agak perlahan memberi sedikit rasa bosan namun tarian dan nyanyian sepanjang teater berlangsung, kemudian berjaya menaikkan aura dan tenaga pementasan ini.

Apa yang pasti, pementasan muzikal ini dilihat membuka ruang kepada kanak-kanak untuk mencungkil bakat di pentas teater yang sememangnya bukan suatu perkara mudah. Tenaga dan bakat yang diberikan oleh mereka sangat luar biasa dan mengagumkan audiens.

Walaupun mungkin karakter Upin & Ipin versi teater tidak banyak persamaan dari segi rupa dan suara kerana bukan dilakonkan pelakon kembar, namun lakonan yang ditampilkan berjaya mengusik dan membuat penonton kanak-kanak yang hadir teruja serta bersorak gembira kerana dapat menyaksikan idola mereka di depan mata.

Menolak faktor sebagai hiburan semata-mata, teater tersebut juga sebenarnya secara tidak langsung banyak memberi tunjuk ajar dan teladan yang baik kepada anak-anak kecil seperti erti setia kawan, tolong menolong serta menghormati orang lain.

Permainan tradisional seperti Jan Jan Jalok dan Pukul Berapa Datuk Harimau juga ada diselitkan dalam teater ini. Ia bukan sahaja mampu mengembalikan nostalgia golongan dewasa ketika kecil dahulu, malah dilihat sebagai proses pembelajaran bagi kanak-kanak yang semakin moden dan hampir tidak mengenal bentuk permainan tradisional.

Pujian harus diberikan kepada pengarah muzik, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah yang telah berjaya menyerikan pementasan tersebut dengan lagu-lagu yang ceria dan 'hidup'.

Tidak kurang juga, set pentas Upin & Ipin The Musical diakui sangat menarik dan telah menyuntik mood yang berbeza setiap kali bertukar babak bertukar. Koreografi yang dipersembahkan pula sangat kreatif dan bertenaga hasil kreativiti koreografer, A. Aris Kadir.

Apa yang pasti, kanak-kanak yang menonton pementasan tersebut pasti pulang dengan hati yang gembira kerana dapat bertemu dan melihat idola Upin & Ipin serta rakan-rakan yang lain beraksi secara langsung.

Upin & Ipin The Musical masih lagi dipentaskan sehingga 7 Mei ini di Istana Budaya pada pukul 8.30 malam dan 3 petang.

Tiket dijual pada harga bermula RM33 hingga RM453 dan sebarang maklumat lanjut sila hubungi 03-6186 6592.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: