MUNGKIN ada kelainan yang mahu dicipta oleh kumpulan yang menggunakan nama Chocolate untuk memikat hati orang ramai, sama seperti yang kini dilalui penyanyi popular, Alyah menerusi lagu-lagu dendangan yang cukup merdu.
Ketika ditemui pada penggambaran video muzik Alyah dan Chocolate berjudul Boomerang baru-baru ini, ketiga-tiganya yang masih belajar itu tekad mahu mencontohi perjalanan seni Alyah yang dianggap seperti kakak sendiri.
“Kami disatukan dalam kumpulan Chocolate menerusi uji bakat yang dijalankan Like Music Entertainment.
Sebelum ini kami tidak kenal antara satu sama lain. Saya dari Tawau manakala Mell dan Eeza masing-masing dari Kota Kinabalu serta Klang.
“Kumpulan ini ditubuhkan pada awal April lalu,” kata Pamela yang melihat kehadiran mereka dalam kumpulan remaja itu sebagai saling melengkapi kekurangan yang sedia ada.
Pamela dan Eeza menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), manakala Mell pula di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Eeza dalam jurusan seni muzik manakala Mell pula di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Komitmen kami bukan sekadar dalam bidang nyanyian tetapi juga perlu fokus kepada pelajaran dan semua ini kami anggap sebagai satu cabaran.
“Seperti Eeza, suaranya unik kerana serak basah, Mell pula mempunyai kelebihan dalam membawakan lagu bernada perlahan manakala saya sendiri mampu membawakan lagu bernada tinggi,” kata Pamela yang menuntut dalam jurusan khidmat pelanggan.
Berbicara soal keserasian pula, mereka mengakui ia tidak mudah dibentuk tetapi apabila menjadikan Alyah sebagai contoh, ketiga-tiganya bersetuju untuk mempunyai matlamat sama iaitu berjaya dalam bidang muzik.
“Bukan mudah untuk mencapai kata sepakat tetapi selalunya keputusan yang dibuat adalah atas dasar kebaikan kepada kumpulan dan bukan bersifat peribadi. Kami tidak pernah bergaduh dan sudah mula memahami sikap masing-masing.
“Kami tiada masalah dan mahu fokus kepada kerjaya kami dan paling penting tidak ada sifat mementingkan diri sendiri,” katanya sambil memberitahu mereka berkongsi apa saja termasuk pakaian supaya ketiga mereka mampu tampil cantik serta bergaya.
Lagu Boomerang jadi taruhan
TUAH Chocolate mungkin terletak kepada pembimbingnya, Alyah yang terkenal dengan lagu Kisah Hati. Mereka mengakui hakikat itu.
Jadi, ketiga-tiga tidak tidak mahu melepaskan peluang yang ada di depan mata begitu saja.
“Kami tidak menafikan populariti Alyah sebagai tuah yang hadir sekelip mata. Peluang yang diperoleh ini memberikan pengalaman baru kepada kami. Apa yang berada di fikiran kini adalah supaya album ini mendapat tempat di hati peminat,” katanya bersungguh-sungguh.
Sementara itu, Alyah sebagai pemilik LME, berkata selepas sebelas tahun meredah gelombang penuh dugaan dalam bidang seni suara, dia berasakan tiba masanya untuk berkongsi pengalaman dengan bakat baru pula.
Katanya, kelahiran Boomerang sebagai taruhan single pertama syarikatnya itu diharapkan mampu memberikan kelainan kepada industri seni.
“Boomerang adalah lagu dan video klip yang bergenrekan Retro Pop yang mengembalikan era 70an serta 80an yang dilatari warna-warni disko kasut roda. Saya turut membuat penampilan khas dalam lagu ini dan saya mahu berkongsi apa saja bersama anak didik saya ini.
“Lagipun kami mahu sentiasa cuba menampilkan sesuatu yang segar kepada setiap hasil seni Like Music dan klip video ini dilihat mampu mengembalikan era permainan kasut roda yang popular yang disesuaikan dengan gaya fesyen kontemporari,” katanya sambil memberitahu lagu itu adalah gubahan Audi Mok dan Omar K dan dicipta Ad Samad.
Katanya, LME adalah sebuah syarikat kerdil tetapi dirinya bersyukur apabila mempunyai tenaga kerja dan rakan-rakan yang menyokong syarikatnya dengan sepenuh hati.
“Daripada segi pengurusan sehinggalah hasil seni kreatif, saya bangga kerana sentiasa dibantu dengan idea serta kerjasama yang baik.
“Saya memberikan nama Chocolate kepada mereka kerana melihat coklat sebagai kegemaran remaja dan disukai semua, jadi ia adalah simbolik kepada kumpulan ini. Pemilihan mereka juga adalah apabila saya melihat ketiga mereka sama seperti sikap saya iaitu mahu bekerja keras,” katanya yang memberitahu kesemua mereka dilihat sebagai cerminan dirinya sendiri.
Alyah bakal muncul dengan single terbaru berjudul Lena Sahara hasil tulisan Yassin dalam masa terdekat ini.
“Fokus sekarang adalah memulihkan kesihatan kerana baru menjalani pembedahan apendiks. Itu paling penting. Bukan mudah untuk saya mencapai sehingga tahap ini dan saya akan memberikan persembahan yang terbaik,” katanya yang memberitahu lagu itu sudah ditonton oleh lebih sejuta peminat di YouTube.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: