Tuesday, November 1, 2011

Didik masyarakat fahami bencana

KENANGAN...peserta Seminar Persediaan Menghadapi Bencana anjuran Institut Pembangunan Wanita NAM, baru-baru ini.
KENANGAN...peserta Seminar Persediaan Menghadapi Bencana anjuran Institut Pembangunan Wanita NAM, baru-baru ini.

BENCANA ada pelbagai. Bencana yang berlaku sekitar rumah, kampung atau negeri kita. Kemudian ada bencana yang lebih besar membabitkan sebahagian besar negara kita.

Tahap tragisnya semakin besar apabila bencana menyerang beberapa negara sekali gus seperti gempa bumi dan tsunami. Bencana mungkin berlaku secara semula jadi seperti banjir, taufan, tanah runtuh, kebakaran hutan, tsunami, kemarau dan jerebu.

Bencana hasil buatan manusia pula antaranya kemalangan kenderaan, pencemaran, perubahan iklim dan serangan pengganas. Ada juga bencana yang membabitkan kesihatan seperti wabak, denggi, penyakit haiwan dan tumbuhan.

Kita mungkin mengetahui dan terkesan dengan bencana yang menimpa dunia beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya yang besar seperti tsunami kerana Malaysia turut menjadi negara yang mengalami kemusnahan. Walaupun kecil berbanding negara lain, impaknya sangat besar daripada segi mangsa yang terbabit juga seluruh rakyat Malaysia.


Kita semua terkejut kerana tidak menyangka ia boleh menimpa kita. Malah, ada yang tidak tahu, apakah itu tsunami. Ini mungkin kerana tiada pendedahan langsung kepada kita sebelum ini dan tiada persediaan dilakukan ke arah itu.


Sekarang, sudah bersediakah kita menghadapi bencana? Sekiranya berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh dan wabak, adakah kita bersedia menanganinya?
Setakat mana persediaan kita jika tsunami berlaku sekali lagi?

Pengarah, Perunding Pengurusan Bencana dan Risiko, Kestrel Group, Karen Stephens, menegaskan bencana perlu diperkenalkan kepada seluruh masyarakat supaya mereka sedar mengenai impaknya.

“Contohnya, apabila bencana gunung berapi meletus, mungkin ia tidak begitu mengambil banyak nyawa kerana ia sempat memberi amaran dan orang ramai dapat diselamatkan, tetapi ada bencana daripada sudut lain iaitu sudut ekonomi dan pelancongan yang menimpa sesebuah negara. Ia selalunya membabitkan begitu banyak kerugian.

“Justeru, pengawalan bencana yang terancang sangat perlu,” katanya dalam pembentangan kertas kerja pada Seminar Persediaan Menghadapi Bencana anjuran Institut Pembangunan Wanita NAM (NIEW) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Apakah maksud pengawalan bencana?

“Maksudnya, setelah mengenali bencana dan kesannya, �daripada situ kita boleh mengenal pasti cara mengurangkan kesannya. Kita memang tidak boleh menghentikan atau mengelak sesuatu bencana terutama bencana alam seperti gempa bumi, taufan dan tsunami, tetapi kita boleh bersedia mengurangkan hasil daripada bencana itu,” katanya.

Menurutnya, setiap perancangan perlu memikirkan jangka panjang yang membabitkan pembangunan akan datang dan sedia ada. Sebarang penyelidikan mengenai persediaan menghadapi bencana juga perlu disokong dan seluruh dunia saling berkongsi pengalaman.

“Buat persediaan dan didik masyarakat supaya faham mengenai bencana. Ini supaya mereka tahu apa yang hendak dibuat ketika bencana. Latihan dan ujian perlu dilakukan manakala kerajaan boleh memberikan amaran bencana, tetapi masyarakat juga perlu tahu apa yang perlu dilakukan serta persediaannya,” katanya.

Menurutnya, komunikasi sangat penting antara pihak berkuasa supaya tidak terjadi arahan dan maklumat yang saling bercanggah dan ini menyukarkan lagi keadaan.

Selain daripada persediaan menghadapi bencana, perlu juga persediaan dan pengetahuan mengenai apa yang dijangka berlaku selepas bencana iaitu termasuk proses pemulihan dan menyediakan diri jika bencana sama berlaku dan masalah pekerjaan.

“Bagaimana hendak meneruskan hidup selepas berlaku bencana? Bagi pihak kerajaan, jika negara itu sering dilanda gempa, mereka sudah tahu jenis bangunan yang boleh dibina di negaranya.

“Bencana tetap berlaku. Cara kita mengawal bencana itu sangat penting dan selepas bencana hidup tetap perlu diteruskan,” katanya.

Antara cara mengurangkan kesan daripada bencana ialah persediaan penting yang perlu diwujudkan.

“Contohnya, perlu ada papan tanda khas seperti arah ke lokasi selamat, sistem amaran, latihan keselamatan, risalah penerangan kepada komuniti dan juga pelan serantau bagi pemindahan untuk kawasan berisiko tinggi yang membabitkan agensi kerajaan dan bukan kerajaan, jalan raya dan pengangkutan yang disasarkan pada masyarakat berisiko tinggi,” katanya.

Beliau akui, perancangan sangat berharga, namun semua perancangan tidak berguna sekiranya tidak mempunyai orang yang berkelayakan bagi menjayakan rancangan itu.

“Perancangan, komunikasi, pendidikan (pada sekolah, masyarakat dan syarikat) sangat penting. Setiap perancangan itu pula perlu diuji dengan latihan kerana selagi latihan tidak dibuat, kita tidak boleh mengatakan perancangan itu sudah berjaya.

“Perancangan mestilah membabitkan semua pihak dan kenal pasti tanggungjawab dan peranan masing-masing,” katanya.

Antara wakil negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang hadir pada seminar anjuran NIEW �ialah Kenya, Brunei, Emiriah Arab Bersatu, Iran dan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: