BEIJING - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dengan puluhan yang lain cedera apabila satu letupan kuat memusnahkan sebuah restoran makanan segera di China semalam.
Beberapa pegawai dan media tempatan menyatakan, letupan kuat itu menghamburkan serpihan-serpihan cermin kaca hingga tiga kilometer dari tempat kejadian.
Agensi berita Xinhua melaporkan, antara mangsa termasuklah kanak-kanak yang melintasi bangunan berkenaan semasa dalam perjalanan ke sekolah.
Gambar-gambar yang dirakam di luar bangunan sebuah pasar raya yang menempatkan premis tersebut di bandar Xian, barat daya China, menunjukkan timbunan kaca dan serpihan berselerakan di atas jalan berhampiran tempat kejadian.
Mayat-mayat mangsa pula diletakkan di atas pengusung dan ditutup menggunakan kain biru.
Xinhua memetik beberapa pegawai tempatan dan saksi sebagai menyatakan, kejadian berpunca daripada letupan gas di restoran makanan segera itu yang terletak di tingkat satu bangunan berkenaan.
"13 orang dihantar ke hospital dengan tiga meninggal dunia iaitu dua lelaki dewasa dan seorang budak perempuan berusia tiga tahun. Seorang lagi kritikal," kata seorang doktor di Hospital Shaanxi Renmin.
Seramai 19 orang lagi yang cedera dalam letupan sama dihantar ke Hospital Xian Gaoxin dengan empat daripada mereka meninggal dunia.
Setakat ini, polis masih menyiasat punca sebenar letupan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: