TRIPOLI, Libya - Dua kumpulan militia yang bermusuh bertempur di pinggir ibu negara Libya di sini untuk hari keempat kelmarin dalam keganasan paling berdarah sejak penangkapan dan pembunuhan bekas pemimpin negara berkenaan, Muammar Gaddafi pada bulan lalu.
Beberapa saksi berkata, anggota-anggota kedua-dua militia itu saling melancarkan serangan dengan menggunakan peluru mortar, mesingan dan roket.
Pertempuran melibatkan beberapa kumpulan militia tersebut membunuh sekurang-kurangnya 13 orang sejak minggu lalu.
Ia turut mencetuskan kebimbangan mengenai keupayaan pentadbiran peralihan mengembalikan keamanan di Libya yang terjejas selepas perang saudara selama lapan bulan.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin pentadbiran peralihan Libya, Mustafa Abdul Jalil berkata, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang mentadbir negara itu berjaya mencapai persetujuan dengan ketua-ketua kumpulan militia yang bermusuh supaya menamatkan pertikaian mereka.
"Saya memberi jaminan kepada rakyat Libya bahawa semuanya terkawal," Mustafa kelmarin.
Namun, ketika kenyataan tersebut dibuat, pertempuran masih sengit di bandar Zawiya dan Warshefana di pinggir bandar raya ini.
Punca pertempuran berlaku masih tidak dapat dipastikan tetapi seorang pejuang berkata, kedua-dua belah pihak bertempur untuk menguasai sebuah kem tentera milik bekas rejim Gaddafi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: