
ALOR SETAR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengedarkan sebanyak tiga juta tong sampah percuma bernilai RM360 juta kepada pemilik kediaman di Semenanjung Malaysia bermula semalam.
Pengedaran tong sampah bersaiz 120 liter itu dilakukan oleh tiga syarikat konsesi iaitu Environment Idaman Sdn. Bhd., Alam Flora Sdn. Bhd. dan SWM Environment Sdn. Bhd. itu dan dijangka selesai pada tahun 2014.
Environment Idaman menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di Zon Utara iaitu di Perlis dan Kedah manakala Alam Flora bertanggungjawab di Zon Tengah dan Timur Semenanjung melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.
Syarikat SWM Environment pula dipertangungjawabkan untuk wilayah selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, setiap pemilik rumah yang membayar cukai pintu layak menerima satu unit tong sampah beroda yang mempunyai nombor siri.
"Kita mahu selaraskan semua tong sampah bagi melancarkan kerja pengurusan sisa," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Penyerahan Tong Sampah Percuma dan Talian Bebas Tol Aduan Sisa 1-800-88-7472 untuk pengguna membuat aduan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: