Sunday, November 20, 2011

Muzik itu menyatukan - Ruth


MENJEMPUT Datuk Khadijah Ibrahim sebagai artis tamu konsertnya, buat Ruth muzik adalah elemen yang menyatukan khalayak yang berbeza negara dan budaya.


KURANG sebulan, penyanyi cantik dengan vokal istimewa ini akan mendendangkan lagu-lagu nyanyiannya di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya itu akan berpentas pada 17 Disember ini .

Ruth Sahanaya yang kekal genit pada usia 45 tahun turut merasai debarannya apatah lagi tetamu kehormat konsert itu ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Saya berasa ini ialah waktu yang tepat untuk mengadakan konsert," katanya ketika ditemui di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini

Berkongsi rutin sebelum konsert, gelak tawa menghiasai pertemuan itu. Tawa membuatkan Ruth sentiasa tampil muda.

"Saya akan makan awal (pada hari persembahan) kerana tidak boleh menyanyi dengan perut kenyang. Saya akan kuarantinkan diri untuk menjaga konsentrasi. Saya tidak akan banyak berbual," luahnya yang mahu tampil hebat dalam setiap persembahan.

"Beberapa detik sebelum mulanya sesebuah konsert merupakan waktu paling gementar buat saya. Sejurus menjejak pentas, semuanya hilang dan saya akan berasa sangat puas sewaktu penonton ikut bernyanyi bersama. Itu aura yang luar biasa," senyumnya yang sentiasa mahu penonton mengembara dengan persembahannya.

Menjemput Datuk Khadijah Ibrahim sebagai artis tamu konsert tersebut, penulis dan Ruth langsung masuk ke topik penyatuan melalui muzik.

"Muzik itu elemen yang menyatukan. Sebagai orang seni, tugas kita juga untuk menyatukan dan kami menjadi duta dari negara masing-masing untuk penyatuan ini. Malah mungkin juga meredakan segala yang tegang daripada aspek lain. Secara peribadi, saya betul-betul rasa terpacu untuk mengajak teman-teman sealiran untuk sama-sama melakukan penyatuan ini," ujar Ruth yang banyak bersahabat dengan artis Malaysia.

"Bagi saya, dalam lingkungan seni, kami tiada masalah. Muzik ialah bahasa universal yang dapat menyentuh semua," tegas Ruth lagi yang bakal menyanyikan 30 buah lagu secara solo dan medley dalam konsertnya kelak.

"Khadijah Ibrahim adalah antara penyanyi seiring masa saya yang saya kagumi. Hubungan kimia kami kuat dan kami memang secocok sekali untuk bergabung dalam konsert ini kerana muzik yang sama. Kami juga saling berkongsi pengalaman tentang dunia hiburan dan nyanyian," ujar Ruth tentang rakan duetnya dalam konsert anjuran A'caralis Kuala Lumpr Sdn Bhd tersebut.

Konsert menyambut ulang tahun ke-25 Ruth dalam arena muzik ini akan menyalurkan seumbangan kepada badan-badan tertentu antaranya Yayasan Sultanah Bahiyah.

Sempat bercerita tentang hasrat masa hadapannya setelah konsert yang diidamkannya ini tercapai, Ruth sebenarnya teringin untuk memiliki sebuah album berkonsepkan jazz.

"Sejak dulu saya gemarkan jazz. Masa sekolah rendah, ayah selalu dihadiahkan kaset-kaset aliran jazz seperti nyanyian Elle Fritzgerlad. Jazz kemudian terus melekat dalam hati saya.

"Sewaktu awal-awal menjadi penyanyi dan muncul dengan album, saya terfikir bahawa ketika itu tidak terlalu idealis untuk menerbitkan sebuah album jazz. Saya harus fikirkan pasaran maka keluar dengan album Seputih Kasih yang ada pop dan baladanya. Sekarang, orang sudah tahu siapa Ruth Sahanaya dan saya rasa kini adalah masa yang idealis untuk realisasikan impian saya.

"Konsep album itu muncul tiga tahun lalu tapi (rakaman) masih belum terlaksana. Jazz bukan muzik orang atasan atau untuk orang berumur," antusiasnya bercerita tentang cita-citanya yang mungkin bakal terlaksana kelak.

"Saya bukanlah individu yang bercita-cita besar sebaliknya saya jalani sahaja perjalanan kehidupan saya. Saya bersyukur dengan apa yang saya perolehi dan mendapat kepercayaan selama 25 tahun," Ruth Sahanaya atau mesra dipanggil Uthe mengakhiri perbualan petang kami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: