PALEMBANG - Seperti dijangka, gandingan Leong Mun Yee-Wendy Ng semalam menjelmakan pingat emas pertama acara terjun buat kontinjen negara selepas menjuarai acara 3 meter papan anjal berirama wanita di kolam renang Stadium Jakabaring, Palembang semalam.
Tanpa dapat disaingi penerjun negara lain, gandingan baharu dan lama negara ini mudah mengatasi cabaran tuan rumah, Indonesia di tempat kedua dan Filipina ketiga.
Wendy-Mun Yee mengumpul 296.1 mata meninggalkan Indonesia 46 mata dan Filipina 53 mata di belakang.
"Kami baru digandingkan tetapi banyak menunjukkan banyak peningkatan di sini berbanding Piala Asia di Beijing sebelum ini. Memang terjun menjadi penyumbang tetap Sukan SEA.
"Ini adalah emas ke-12 dari acara terjun. Harap kami dapat lebih mantap berganding untuk mencatat kejayaan lebih besar di Sukan Olimpik London tahun depan," kata Mun Yee.
Bagi Wendy yang masih cetek pengalaman, walaupun jarak usia dengan Mun Yee jauh berbeza tetapi kesungguhan berlatih bersama menyebabkan mereka cepat serasi.
"Sejak digandingkan, kami tinggal sebilik di Majlis Sukan Negara dan ketika menyertai pertandingan. Ia menjadikan kami lebih akrab dan cepat membentuk persefahaman," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: