Monday, November 14, 2011

Choon Sieng pertahan emas


CHOON SIENG menunjukkan pingat emas yang diraihnya selepas menamatkan acara 20km jalan kaki di Palembang semalam.


PALEMBANG - Loo Choon Sieng meneruskan tradisi emas yang dipegang selama 22 tahun oleh atlet Malaysia dalam acara 20km jalan kaki lelaki apabila muncul juara pada Sukan SEA Ke-26 di Kompleks Sukan Jakabaring, semalam.

Dalam tempoh lebih dua dekad itu, belum ada atlet daripada negara Asia Tenggara lain mampu merampasnya dari Malaysia termasuk daripada zaman kegemilangan jurulatih Choon Sieng sekarang, V. Subramaniam.

Seawal jam 8 pagi lagi menerusi Choon Sieng, 26, kontinjen negara berjaya menambah koleksi pingat emas di lapangan olahraga selepas Tan Song Hwa membuka tirai menerusi acara baling tukul besi, kelmarin.

Atlet dari Melaka itu yang memulakan aksi seawal jam 6 pagi mencatat masa 1jam:32min:34s untuk meninggalkan atlet Indonesia, Hendro seminit di belakang. Hendro hanya mampu memberikan saingan pada 8km pertama sebelum ditinggalkan Choon Sieng hingga tamat perlumbaan.

Seorang lagi atlet negara, Teoh Boon Lim yang menang emas pada temasya dua tahun lalu di Laos sekadar mampu menduduki tempat keempat sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan.

"Ini adalah pingat emas pertama saya di Sukan SEA selepas dibatalkan penyertaan di Laos. Jadi saya ada sebab untuk merasa cukup gembira dan puas di sini.

"Masa yang dicatat tidaklah begitu baik berbanding rekod peribadi terbaik saya 1j:29min:36s dan rekod Sukan SEA 1j:29min:14s. Ia berkaitan faktor keadaan yang berdebu dan saingan yang kurang sengit di sini," katanya selepas perlumbaan.

Apa yang lebih penting daripada itu, katanya, dia dapat menebus kegagalan di Laos yang dianggapnya amat memeritkan untuk diterima ketika itu.

"Saya pulang dengan penuh penyesalan dan cuba bangkit dengan menjalani latihan dengan cukup insentif. Hari ini (semalam) saya berjaya membuktikannya," tegas Choon Sieng.

Dalam pada itu, walaupun sekadar meraih perak semalam, atlet lontar peluru lelaki negara, Adi Alifuddin Hussin, 23, berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri.

Dalam acara yang ditangguhkan lewat sehari itu akibat hujan, Adi melakukan lontaran sejauh 17.53m untuk mengatasi rekod lamanya, 17.38m.

Acara itu dimenangi atlet Thailand, Chatchawal Polyiam yang melakukan lontaran sejauh 17.74m.

"Saya tidak perlu kecewa walaupun hanya meraih perak. Pada saya, pecah rekod itu pun sudah cukup baik," katanya yang baru berlatih sejak dua bulan lalu selepas enam bulan berehat akibat menjalani pembedahan di bahu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: