Tuesday, November 8, 2011

Robot, gajet modal Kaki Robot


ZAKI mempunyai minat yang mendalam terhadap robot dalam drama Kaki Robot.


BAGI penggemar dunia robotik dan gajet, dunia mereka sememangnya unik. Tidak hairanlah golongan ini digelar kaki robot.

Bagaimanapun, tidak semua yang berpandangan, robot dan gajet boleh dijadikan bahan cerita dan seterusnya, diterjemahkan sebagai sebuah drama untuk tontonan kanak-kanak.

Idea untuk melahirkan drama berjudul Kaki Robot, diperoleh oleh syarikat produksi Hezz Comm Sdn. Bhd.

Menurut penerbitnya, Hezle Helan, pengalamannya ketika berada di India menggesa dirinya untuk melahirkan sebuah drama kanak-kanak berunsurkan robot dan gajet.

Katanya, walau pun kehidupan di tempat yang dilawatinya itu agak daif namun minat dan pengetahuan kanak-kanak di India tentang robot dan gajet, agak mengagumkannya.

“Segalanya tercetus ketika saya berada di India. Kanak-kanak di sana amat meminati robot dan ia adalah satu elemen hiburan bagi kanak-kanak di India.

“Bertitik tolak dari situ, tercetus satu idea mengapa kita tidak melahirkan sebuah drama untuk kanak-kanak dengan menjadikan robot sebagai plot dalam drama yang berjudul Kaki Robot?

“Bagi saya, itu amat dekat di hati penonton terutamanya kalangan kanak-kanak bukan sahaja di India tetapi di Malaysia,” katanya.

Drama bersiri 13 episod arahan Nyon dan Amirul Fadhli ini kata Hezle, memulakan penceritaan tentang pertandingan robotik yang cukup popular di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Mengambil kira populariti pertandingan robotik itulah, Kaki Robot dihasilkan dan saya berharap drama ini diterima baik selain daripada dapat memupuk minat yang lebih mendalam terhadap bidang robotik,” katanya.

Tambahnya, drama Kaki Robot bukan sahaja dapat memupuk semangat inovasi dalam diri penonton tetapi keunikan drama itu terletak pada aspek penggunaan imej janaan komputer (CGI).

Katanya lagi, Kaki Robot yang akan disiarkan mulai Sabtu ini, pukul 10.30 pagi di TV1, turut membariskan pelakon undangan seperti Aziz M. Osman dan Osman Kering selain pelakon utamanya, Azhan Rahi, Afzan (Pilih Kasih) serta Adrea Abdullah.

Antara pelakon kanak-kanak yang turut terlibat dalam drama bersiri Kaki Robot ialah Nur Hakim, Syafiedzul, Dharma Seelan dan Hazirah Qasdina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: