![]() |
| Persembahan bertenaga David Coverdale menjangkau usianya. |
USIA bukan penghalang. Itulah kata-kata yang bermain di dalam kepala sebaik sahaja kumpulan legenda rock, Whitesnake mengadakan persembahan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad lepas.
Bukan sahaja kerana usia vokalisnya, David Coverdale yang sudah menjangkau 60 tahun, malahan golongan peminatnya yang hadir pada malam itu juga dilihat sebaya dengannya.
Kehadiran lebih 5,000 penonton yang membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil pada malam itu benar-benar menghidupkan kembali semangat hard rock dan heavy metal.
Keghairahan penonton itu, awal-awal lagi dibakar dengan kemunculan Ratu Rock Negara, Ella yang diberi penghormatan untuk membuat persembahan pembuka tirai konsert Whitesnake.
Ella yang tampil dengan lagu Dua Insan Bercinta, Nuri dan Layar Impian mempamerkan kehebatannya di pentas persembahan yang sekali gus, bukan sahaja menghiburkan tetapi turut mengubat rindu peminat untuk melihat aksi rocker wanita kesayangan ramai ini.
Sebaik sahaja Whitesnake melangkah naik ke pentas dan vokalisnya, Coverdale berkata: “Apa khabar?” Pertanyaan itu disahut dengan pekikan peminatnya.
Bukan setakat menjerit tetapi peminat-peminat Whitesnake tidak dapat membendung rasa teruja mereka apabila ada antara mereka berlari menuju ke pentas.
Membuka persembahan dengan lagu Best Years yang dimuatkan dalam album ke-10 mereka, Good to Be Bad, menggamatkan lagi suasana dalam stadium.
Khusyuk mengalunkan lagu, tidak lengkap sekiranya persembahan Coverdale jika dia tidak mengangkat batang mikrofon ke atas kepalanya sambil menyanyi.
Persembahan yang cukup bertenaga daripada kumpulan tersebut kemudiannya diteruskan lagi dengan lagu Give Me All Your Love, Love Ain‘t No Stranger, Is This Love dan Steal Your Heart Away.
Kesemua lagu yang dipersembahkan, mendapat tepukan bergemuruh.
Itu sebagai bukti, lebih 30 tahun beraksi di atas pentas, Coverdale cukup bertenaga selain daripada bijak berinteraksi dengan peminat-peminat fanatiknya.
Coverdale terus memaku peminatnya menerusi lontaran lagu Forevermore yang dipetik daripada album ke-11 mereka berjudul Forevermore yang dilancarkan Mac lalu.
Selain daripada Coverdale yang menonjol, persembahan pada malam itu diteruskan dihangatkan dengan petikan gitar secara duel di antara Doug Aldrich dan Reb Beach yang ternyata membuatkan peminat mereka yang hadir tergamam.
Tamat sahaja duel berkenaan, Coverdale muncul kembali dengan membawakan lagu Can You Hear The Wind Blow dan juga Love Will Set You Free sebelum giliran pemain drum, Brian Tichy menunjukkan kehebatannya.
Bermula dengan gerakan pantas ketukan drum menggunakan drumstick, Tichy kemudiannya melemparkannya kepada peminat dan hanya bermain drum dan juga alat perkusion yang lain dengan tangan kosong.
Mendapat tepukan gemuruh daripada peminat, dia kemudiannya menunjukkan kebolehannya mengetuk drum menggunakan pisau dengan rentak yang rancak dan bertenaga.
Persembahan 10 minit tanpa henti daripada Tichy diakhiri dengan ketukan drum dengan drumstick neon yang kemudiannya dilemparkan kepada peminat setia mereka yang menantikan saat tersebut.
Coverdale kemudiannya muncul kembali dengan membawakan lagu The Deeper The Love, Fool For Your Loving, Here I Go Again, dan Still Of The Night dengan menyanyikannya bersama-sama peminat.
Persembahan kemuncak tiba apabila Coverdale menyanyikan bait-bait awal lagu Deep Purple, Soldier of Fortune dan kemudiannya mendapat sorakan hebat daripada penonton.
Selain menyanyikan lagu cover Soldier of Fortune, Whitesnake turut membawakan lagu Burn Stormbringer sebelum mengakhiri persembahan.
Selain David Coverdale, Doug Aldrich, Reb Beach dan Brian Tichy, Whitesnake juga turut dianggotai oleh Michael Devin (bass) serta Brian Ruedy (keyboard)
Sehari sebelum konsert berkenaan, Coverdale sempat menyatakan rasa bertuahnya kerana dapat membuat persembahan di sini.
“Kali pertama menjejakkan kaki Malaysia, saya sememangnya berasa sangat teruja dan berasa sangat gembira berada di sini.
“Ini merupakan satu sejarah buat kumpulan Whitesnake dan sememangnya kami sangat menghargai peluang yang diberi,” ujar bekas vokalis Deep Purple itu.
Kehadiran Whitesnake ke Malaysia juga sebenarnya merupakan rangka promosi album Forevermore, edaran Frontiers Records.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: