Kek lapis sememangnya sinonim dengan masyarakat Sarawak kerana kelazatan dan aroma yang memikat, kini bukan hanya boleh didapati di negeri Kenyalang, malah penggemar di Semenanjung juga boleh menikmati kelazatannya.
Melihat kepada potensi makanan itu, Faudziyah Ariffin, 48, tidak melepaskan peluang menceburi perniagaan pembuatan kek lapis.
Berbekalkan minat dan kesungguhan, Faudziyah memulakan perniagaan pada November 2010, dengan menghasilkan sendiri kek lapis Sarawak menggunakan resipi istimewa dan memasarkannya menerusi jenama CitaRasa d’FHA.
CitaRasa d’FHA adalah jenama yang diambil sempena pendaftaran nama syarikat.
Bermula dengan modal sebanyak RM4,000, bagi membeli mesin pembancuh tepung dan peralatan keperluan penyediaan kek lapis, CitaRasa d’FHA kini mampu menghasilkan kek lapis di antara lapan hingga 16 pek sehari, yang hanya dijalankan setiap hujung minggu.
“Walaupun baru setahun beroperasi, CitaRasa d’FHA telah menjual sehingga 400 bekas dan kira-kira 25 loyang kek lapis. Tempahan pula bergantung kepada permintaan pelanggan, dalam sebulan saya menerima kira-kira 10 tempahan kek tidak termasuk jualan yang dihantar di kedai-kedai,” katanya.
Katanya, kek lapis tersebut dijual dengan harga RM23 bagi 400 kilogram, manakala RM75 untuk 1.5 kilogram.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: