AirAsia sasar sejuta kad keahlian BIG

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia), optimis jua­lan ke atas kad kesetiaan BIG akan mencecah RM500 juta menjelang 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sasaran tersebut turut disokong sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan Oktober lalu, de­ngan menerima 65,000 permohonan berdaftar daripada 150 negara.

“Kad kesetiaan BIG memberi pelanggan mata ganjaran ketika melancong dan membeli belah, serta boleh menebus hadiah menarik termasuk tiket penerbangan per­cuma meliputi destinasi dalam dan luar negara.

“Kami juga turut menya­sarkan 1 juta kad keahlian menjelang pertengahan tahun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran kad kesetiaan BIG, di Kuala Lumpur.

Menurutnya, secara pecahan AirAsia kini mempunyai 20 peratus tiket tidak dijual, justeru, dengan pe­lan­caran kad kesetiaan ini ia menggalakkan lagi pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan AirAsia.

Setiap ahli kad kesetiaan BIG boleh mengumpul mata ganjaran yang dipanggil BIGGIES ketika membeli belah daripada 2,000 rakan kongsi antaranya Sogo; Megastore; Concorde; BP; Hard Rock termasuk Air Asia dan Tune.

Untuk pasaran tempatan, kad kesetiaan BIG juga boleh digunakan sebagai kad Visa Prabayar BIG yang boleh ditambah nilai di semua bank utama secara atas talian, di laman web tune2big.com dan boleh digunakan di seluruh negara.

Tony berkata, kad Visa Prabayar BIG kini hanya beroperasi di pasaran tempatan sahaja, dan akan dilancarkan di Indonesia pada suku pertama tahun depan, manakala Thailand, Filipina dan Singapura pada penghujung 2012.

Kad BIG diuruskan oleh Think Big Digital Sdn Bhd merupakan kerjasama yang memberi manfaat di antara Air Asia dan Tune Money Sdn Bhd.

BIG adalah program kesetiaan global yang menawarkan tiket percuma dan pelbagai hadiah lumayan kepada pelanggan.