MELAKA 31 Okt. - Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim menerima anugerah Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para di sini hari ini.
Majlis penganugerahan itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dalam satu majlis di Kem 8 Rejimen Renjer Diraja Para, Kem Terendak, Sungai Udang di sini.
Menurut Zulkifli, penyampaian anugerah kepada Puteri Intan Safinaz sebagai menghargai komitmen dan ketokohan beliau terhadap perkembangan Askar Wataniah.
''Kita harap melalui penganugerahan ini, ia akan dapat menjadi pemangkin kepada golongan belia khususnya wanita profesional untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencabar," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut di sini hari ini.
Puteri Intan Safinaz telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah pada 4 September 2007 dan kini menjawat jawatan Komander Rejimen 513 Askar Wataniah.
Sementara itu, Puteri Intan Safinaz berkata, penyampaian Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat merupakan penghargaan yang amat bererti dan mencipta sejarah tersendiri dalam hidupnya.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berkata, penganugerahan tersebut menjadi pendorong untuk terus berkhidmat dalam Askar Wataniah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
''Jika masih terdapat golongan wanita yang tercari-cari sesuatu yang baru dalam hidup mereka, ATM menyediakan pelbagai jenis bentuk latihan yang mampu membantu mereka mencapai kualiti hidup lebih baik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: